Keadaan medan selera bersebelahan Pasar Awam Masai, Pekan Masai, Pasir Gudang yang suram dan perlu dinaik taraf kerana sudah usang sering berlaku banjir kilat. Dari kiri Maniam, Muhamad Rajip, Murugan

PASIR GUDANG – Kira-kira 40 peniaga bersebelahan Pasar Awam Masai, di sini, memohon kerajaan negeri menyambung semula lesen perniagaan dan menaik taraf kedai-kedai makan yang ada di situ.

Penasihat Persatuan Peniaga Food Court Masai, RS Maniam mendakwa, semua lesen tidak diperbaharui sejak 2022 hingga sekarang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi alasan untuk mereka mencari pemilik tapak di medan selera tersebut terlebih dahulu.

“Berdasarkan geran yang kami lihat, tapak medan selera ini adalah milik Setiausaha Kerajaan Negeri dan dahulunya adalah Stesen Bas Masai sebelum dipindahkan ke bahagian hadapan iaitu di tepi Jalan Masai Lama dan kami mula berniaga pada 1997.

“Sebelum ini terdapat lebih 60 peniaga tetapi kini hanya 40 peniaga yang melibatkan kaum Melayu, Cina dan India yang berniaga kedai makan,” katanya ditemui selepas dialog peniaga kecil Masai dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di medan selera itu.

Seorang peniaga, Muhamad Rajip Mat Jadi, 65, berkata, mereka masih lagi berniaga di situ walaupun dalam keadaan lesen dibekukan.

“Kadang-kadang kami risau apabila penguat kuasa PBT datang namun apa yang boleh kami lakukan kalau tutup kedai. Disebabkan tidak dapat perbaharui lesen, peniaga tidak mahu baiki kedai yang sudah uzur,” katanya.

Dia berkata, peniaga bimbang sekiranya mereka membaiki premis masing-masing, PBT akan mengarah untuk mengosongkan kedai dan itu akan merugikan mereka.

Bagi S Murugan, 62, keadaan kedai mereka yang buruk membuatkan tidak ramai pelanggan sedangkan kawasan tersebut sangat strategik kerana berada di tengah Pekan Masai.

“Dalam sehari nak dapat RM50 pun susah. Keadaaan kedai pun kadang-kadang nampak macam nak roboh. Itu belum cerita berkenaan banjir lagi. Kalau PBT perbaharui lesen, peniaga boleh kutip duit untuk naik taraf kedai di sini,” ujarnya.

Dia mendakwa, sudah empat kali banjir besar berlaku di medan selera tersebut iaitu pada 2003, 2004, 2011 dan terbaharu 2024.

Sementara itu, Hassan berkata, pihaknya akan menyuarakan perkara tersebut dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Johor Bahru dan membawanya kepada pengetahuan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Asman Shah And Rahman.

Beliau pasti Asman akan simpati dan memahami masalah tersebut lebih-lebih lagi pernah menjadi Datuk Bandar Pasir Gudang sebelum ini.

“Selain itu kita akan adakan pertemuan peniaga, ahli majlis, ahli jawatankuasa terbabit, ketua kampung dan penghulu dengan Datuk Bandar Pasir Gudang.

“Tujuannya untuk mendapatkan lesen semula dan mendapat kebenaran berniaga di sini sehingga ada projek lain untuk dilaksanakan di tapak mereka berniaga.

“Begitu juga untuk dapat kerjasama PBT, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membersihkan parit dan mencantikkan tempat ini,” katanya.

Jelasnya, ini termasuk menyediakan kemudahan tandas awam yang bukan sahaja nanti menjadi tarikan pelanggan tetapi juga masyarakat setempat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast