GEORGE TOWN – Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) mendesak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menangguhkan pembentangan pindaan Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 (Akta PNPV 2004) dan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
FKMM dalam kenyataan berkata, mereka bimbang terhadap ketiadaan proses konsultasi yang menyeluruh, khususnya melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP), petani kecil, masyarakat orang asli dan kerajaan negeri.
“Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini memberi jaminan bahawa sebarang pindaan akan dirujuk kepada JPKP terlebih dahulu, namun sehingga kini teks pindaan masih belum dibentangkan untuk semakan dan kajian menyeluruh.
“Ini bercanggah dengan jaminan yang telah diberikan oleh menteri sendiri di dalam sidang Dewan Rakyat pada tahun lepas, di mana beliau menyatakan bahawa kedua- dua pindaan dan RUU ini akan dirujuk dan dibentangkan terlebih dahulu kepada JPKP sebelum dibawa ke sidang Dewan Rakyat,” kata kenyataan tersebut.
FKMM turut mempersoalkan langkah kerajaan menyelaraskan Akta PNPV dengan Konvensyen UPOV 1991 kerana didakwa akan melemahkan perlindungan hak petani serta memberi kelebihan monopoli kepada syarikat pembiak baka.
Untuk rekod, pada 18 November tahun lalu, Mohamad memberitahu parlimen bahawa pindaan kepada Akta PNPV dan penggubalan RUU Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan kepada JPKP sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Katanya, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Rang Undang-Undang yang dipengerusikan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Dalam perkembangan sama, FKMM turut mengkritik RUU Kualiti Benih Tanaman yang dijangka dibentangkan tahun hadapan susulan ia mewajibkan pelesenan dan notifikasi kepada petani kecil, sekali gus berpotensi menekan golongan tersebut dengan peraturan ketat dan hukuman berat.
“Justeru, kita menggesa kedua-dua inisiatif perundangan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada libat urus menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan,” katanya.
FKMM merupakan jaringan yang terdiri daripada 250 individu termasuk ahli akademik, profesional, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kumpulan petani dari seluruh negara yang memperjuangkan kedaulatan makanan dan hak petani di Malaysia. – MalaysiaGazette
















