GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberi kerjasama penuh kepada siasatan Pasukan Khas Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman berhubung aliran dana Projek Penang World City (PWC) yang dikaitkan dengan skim pelaburan MBI.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PDC telah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan termasuk minit mesyuarat dan penyata kewangan kepada pihak berkuasa pada 18 Julai lalu.
“Saya telah menerima laporan bertulis daripada PDC. Berdasarkan dokumen tersebut, pasukan AMLA telah mengunjungi PDC pada 9 Julai lalu untuk mendapatkan maklumat transaksi pembayaran oleh Mutiara Metropolis Sdn. Bhd. (MMSB) kepada PDC bagi tujuan pembelian dan pembangunan tanah dari tahun 2011 hingga 2019.
“Permintaan itu turut melibatkan dokumen berkaitan Tropicana Ivory Sdn. Bhd. (TISB),” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.
Menurut beliau, siasatan berkenaan bertujuan mengenal pasti sama ada terdapat sebarang aliran dana dalam projek PWC yang berkaitan dengan skim penipuan pelaburan MBI.
Tegasny, PDC hanya terlibat dalam siasatan sebagai pihak berkepentingan dan bukan sebagai suspek siasatan.
“PDC sentiasa bertindak mengikut peraturan dan undang-undang serta mengekalkan prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik. Peranan PDC adalah menjalankan tugas pemantauan dan kerjasama dalam transaksi berkaitan.
“Setakat ini, PDC telah menjalin komunikasi yang rapat dengan pihak berkuasa dan terus memberi kerjasama penuh,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan terdapat empat perjanjian utama berkaitan Projek PWC berdasarkan dokumen PDC iaitu perjanjian jual beli dan pembangunan antara Pejabat Ketua Menteri (CMI), PDC dan Ivory Properties Group Bhd (IPGB) pada 11 November 2011; perjanjian tambahan pertama pada 24 Oktober 2013.
“Perjanjian tambahan kedua pada 23 Jun 2014; dan perjanjian pindah milik dan tambahan antara PDC, CMI, IPGB dan TISB pada 1 November 2019.
“Setakat Julai ini, MMSB melaporkan kerja-kerja penambakan untuk projek PWC telah siap sebanyak 68 peratus, manakala kemajuan keseluruhan pembangunan mencapai 44 peratus,” katanya.
Media pada Mac lalu melaporkan, Kon Yeow mengesahkan PDC tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan skim MBI.
PDC dikatakan menjalankan penjualan tanah mengikut prosedur yang ditetapkan dan bukan terlibat dalam transaksi MBI. – MalaysiaGazette
















