Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Adalah menjadi amalan di seluruh dunia bahawa pemberi maklumat tidak boleh pergi kepada media sebaliknya perlu menyalurkan informasi atau membuat pendedahan kepada agensi berkaitan terlebih dahulu.

Itu penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Banyak orang bertanya kenapa kalau pemberi maklumat pergi ke media dia juga boleh dilihat sebagai salah satu yang dibuatkan tuduhan, sebenarnya di luar sana, prosedurnya pemberi maklumat memang tidak boleh terus pergi kepada media, dia mesti pergi kepada agensi yang bertanggungjawab sebab agensi nak melihat maklumat tersebut

“Salah satu sebab penekanan kita tidak boleh berikan galakkan dari segi dasar kerajaan adalah kita nak menghalang supaya tidak ada penyalahgunaan sistem, kita nak menentukan rahsia negara disebut oleh pemberi maklumat terutama sekali dalam isu keselamatan negara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, tindakan pemberi maklumat membuat pendedahan kepada media berisiko mengundang penilaian dan andaian awal daripada orang awam.

Perlunya prosedur undang-undang, kalau pemberi maklumat terus pergi ke media maknanya media terus buat keputusan, orang awam buat keputusan tentang suatu kesalahan ini pun tidak adil kepada system proses undang-undang negara kita,” ujarnya.

Dalam masa yang sama Azalina menegaskan kerajaan bertanggungjawab memastikan keselamatan pemberi maklumat terjamin selepas membuat suatu pendedahan.

Bagi menjunjung inisiatif berkenaan, daripada segi kerahsiaan maklumat, seksyen 8 Akta 711 (Akta Perlindungan Pemberi Maklumat) akan terus terpakai secara automatik kepada semua individu yang diiktiraf sebagai pemberi maklumat di bawah akta ini.

Identiti dan maklumat berkaitan pemberi maklumat dilindungi dan tidak boleh didedahkan tanpa kebenaran, kecuali untuk tujuan siasatan atau prosiding undang-undang, seperti yang dinyatakan secara jelas dalam akta,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast