Ibu Zayn Rayyan Abdul, Ismanira Abdul Manaf ketika keluar dari Mahkamah selepas mendengar keputusan pertuduhan pengabaian kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JULAI 2025.

PETALING JAYA – Selepas suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, tumpuan kini beralih kepada Ismanira Abdul Manaf yang membela diri di Mahkamah Sesyen hari ini.

Ismanira memberi keterangan bersumpah dari kandang tertuduh, kini berdepan prosiding selepas Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan terdapat kes prima facie terhadap beliau.

Dalam keterangannya, Ismanira menafikan dakwaan seorang saksi pendakwaan, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, yang menyifatkan wajahnya ‘kosong’ ketika siasatan awal dijalankan.

“Saya tak faham apa maksud muka saya kosong. Masa itu hujan sudah mula turun dan saya hanya fikir di mana Zayn. Anak saya hilang, saya lalui saat yang sangat menyakitkan,” katanya.

Ismanira berkata, beliau telah memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang dilakukan pada malam kejadian, termasuk memberikan maklumat kepada pegawai polis terbabit.

Katanya, Inspektor Nina tiba di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai kira-kira lima jam selepas laporan kehilangan dibuat, disebabkan beliau sedang menguruskan kes lain.

“Saya tunggu sampai hampir pukul 8 malam, kemudian saya dimaklumkan oleh Inspektor Nina ada dakwaan orang nampak Zayn di tingkat tiga. Dia minta saya balik cari semula. Tapi ayah mentua saya kata dia tak nampak Zayn pun,” katanya.

Beliau kemudian menghubungi semula pegawai itu dan merayu agar bantuan digerakkan segera kerana anaknya belum dijumpai.

Dalam pada itu, Ismanira menyatakan secara terperinci rutin harian anaknya dan detik-detik sebelum Zayn dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023.

“Seperti biasa, sebelum balik rumah, saya akan temankan Zayn main di taman permainan bawah apartmen. Pada hari kejadian, saya sampai lewat lima minit, sekitar 12.05 tengah hari, sebab singgah pasar raya beli barang nak masakkan Zayn spaghetti bolognese iaitu makanan kegemaran dia.

“Saya parkir motosikal di bawah Blok S, dan bawa Zayn ke taman permainan. Saya teman dia main lima minit, kemudian ajak dia naik ke rumah kami di tingkat dua melalui tangga tengah. Masa tu dia ikut saya dari belakang, dua tiga langkah,” ujarnya.

Tambah Ismanira, dia mendengar bunyi tapak kasut Zayn sebagai tanda anaknya masih di belakang kerana tangannya sedang memegang beg sekolah Zayn dan barang-barang yang dibeli.

“Zayn anak autisme. Dia akan ikut rutin. Kadang-kadang dia pegang baju saya, kadang-kadang dia berjalan depan saya, tapi dia tak suka dikongkong. Tapi dia sentiasa berada dalam pemerhatian saya,” ujarnya.

Namun, Ismanira menyedari sesuatu tidak kena apabila tidak lagi mendengar bunyi langkah anaknya itu.

“Bunyi tu berhenti tiba-tiba. Saya tak dengar dia berlari. Kalau dia lari, saya mungkin terus kejar.

“Saya turun tangga, tengok kiri kanan, Zayn tak ada. Saya ke taman permainan semula tapi kosong. Saya cari seluruh kawasan blok. Naik rumah semula, buka semua pintu, periksa bilik tidur, bilik air, dapur, bawah katil… semua. Saya panggil nama dia, Zayn… abang… Tapi dia tak ada,” katanya.

Peguam, Ramzani Idris bersama Peguam, Haresh Mahadevan, bercakap pada media berkenaan Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf selepas mendengar keputusan pertuduhan pengabaian kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JULAI 2025.

Mayat Zayn ditemui di dalam anak sungai kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 10 malam, 6 Disember 2023, sehari selepas dilaporkan hilang oleh keluarganya.

Sementara itu, peguam bela, Haresh Mahadevan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil lima orang saksi termasuk Zaim.

Perbicaraan akan bersambung sehingga Khamis ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast