JOHOR BAHRU – Kepercayaan rakyat akan terhakis sekiranya pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PRK) dalam kem ‘Hiruk’ dan `Damai’ terus bertelagah termasuk dalam media sosial dan mereka akan terus terperangkap dalam drama politik dalaman.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Faezuddin Puad berkata, rakyat kini sedang memerhati dan menilai keadaan yang berlaku dalam parti.
“Rakyat akan berfikir seandainya kita tidak boleh uruskan perbezaan pendapat dalam parti dengan baik, masakan rakyat akan percaya kita boleh urus negara ini dengan baik?
“Jika kita masih terus leka bergaduh sesama sendiri, jangan salahkan sesiapa jika rakyat menolak kita nanti.
“Sekarang ini, rakyat mahu lihat seluruh saf pimpinan dan anggota parti bekerja, bukan bertelagah sesama sendiri baik dalam media sosial atau di luar,” katanya dalam satu kenyataan.
Suhu politik dalaman PKR ketika ini dilihat semakin panas susulan pergeseran terbuka antara pemimpinnya terutama selepas pemilihan parti itu pada Mei lalu melibatkan kem Hiruk yang diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli dan kem Damai yang dipimpin Nurul Izzah Anwar yang kini Timbalan Presiden PKR.
Situasi tidak harmoni itu diperkuatkan lagi dengan tindakan sembilan ahli Parlimen PKR diketuai Rafizi mengadakan sidang akhbar berhubung krisis institusi kehakiman yang secara tidak langsung memberi imej buruk kepada pentadbiran kerajaan yang diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Faezuddin mengingatkan semua pihak untuk terus melihat ke depan tanpa perlu lagi diungkit atau dipanjangkan soal pemilihan yang sudah berlalu.
Tegasnya yang juga Ketua PKR Cabang Pulai, ia termasuk cadangan untuk menggantung atau memecat anggota atau pemimpin tertentu.
“Presiden kata, move on. Maka, kita harus move on. Semua pimpinan dan anggota yang sayangkan parti wajib akur dan hormat saranan ini demi kebaikan parti.
“Siapa pun yang menang atau kalah dalam pemilihan parti, suka atau tidak, kita semua masih dalam satu parti yang sama. Kalau benar sayangkan parti, hentikan pergaduhan dan hentikan menyerang antara satu sama lain secara terbuka.
“Wajib kita rangkul semua pihak. Kuatkan parti, rapatkan saf perjuangan, dan kembalilah ke meja muafakat. Kita tidak boleh kuat jika terus berpecah hanya kerana perbezaan mazhab politik dan pendapat yang sepatutnya boleh diraikan secara beradab,” ujarnya.
Sewajarnya kata beliau, masa, idea, pandangan dan tenaga seluruh pimpinan dan anggota dimanfaatkan untuk menggerakkan kekuatan akar umbi, membina strategi dan mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap PKR.
“Ini juga masa untuk kita perbanyakkan program menerangkan dasar dan bantuan kerajaan kepada rakyat dan lawan naratif jahat parti lawan. Beri pemahaman yang mantap kepada rakyat,” jelasnya.
Katanya, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir selain PRN di Melaka dan Johor serta pilihan raya umum (PRU) juga akan menyusul tak lama lagi maka jentera parti perlu diperkuatkan.
“Ingat, parti ini diasaskan untuk memperjuangkan agenda reformasi, membela nasib rakyat dan bekerja keras membina sebuah negara berjaya dan adil untuk rakyat.
“Kalau setiap hari kita disibukkan hanya untuk berbalas-balas sindiran, cacian dan fitnah terhadap sesama anggota, sampai bila pun parti ini tidak akan bergerak ke mana,” katanya.- MalaysiaGazette
















