File picture

Oleh: Ismail Hashim

DI meja rundingan perdagangan, negara-negara ASEAN kini umpama bidak di papan catur. Amerika Syarikat (AS) dengan senjata tarifnya tidak lagi sekadar melindungi pasaran tempatannya tetapi sedang melancarkan bentuk baharu penjajahan perdagangan.

Ketika President AS, Donald Trump mengumumkan pengurangan tarif import untuk Indonesia dari 32% kepada 19%, terselit syarat yang mengikat: Jakarta terpaksa
membeli produk AS bernilai berbilion dolar – dari gas asli cecair (LNG) sehingga pesawat Boeing.

“Ini bukan perdagangan tapi pemerasan terselubung,” bantah Bhima Yudhistira, ahli ekonomi dari pertubuhan penyelidikan Ekonomi Indonesia, Celios yang mendedahkan bagaimana dasar ini mencabul kedaulatan ekonomi negara.

Vietnam menjadi contoh tragik permainan ini. Negara itu berjaya menekan tarif AS dari 46% kepada 20% tetapi dengan harga yang mahal: terpaksa membuka pasaran
seluas-luasnya untuk produk AS dan menyekat barangan China yang dianggap sebagai transhipment. “Kami tersepit antara AS dan China. Ini pilihan yang sukar”
akui pegawai Kementerian Perdagangan Vietnam.

Sementara itu, Thailand dan Kemboja berdepan pengenaan kadar tarif melampau – antara 36% hingga 49% – yang mengancam industri automotif dan pakaian mereka.
Malaysia, di bawah kepimpinanan Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba melawan dengan menolak rundingan dua hala dan mendorong penyelesaian kolektif ASEAN.

Namun mampukah perpaduan ini bertahan apabila negara anggota lain sudah terikat dengan perjanjian tidak seimbang bersama AS? Apa yang lebih merisaukan daripada tarif ini ialah ancaman terhadap kedaulatan dalam membuat keputusan bagi negara anggota ASEAN.

AS bukan sekadar memaksa peraturan dagangan malah turut memaksa naratif dalam cara berfikir. Naratif ‘defisit dagangan mesti diatasi dengan import produk AS’ telah dipaksakan meskipun defisit mungkin mencerminkan pelaburan langsung.

Peraturan ‘keselamatan ekonomi’ AS yang mewajibkan produk eksport ASEAN mengandungi maksimum 10-20% komponen China secara langsungnya mengabaikan realiti rantaian bekalan serantau. Indonesia, sebagai contoh, dipaksa menghapus subsidi minyak dan demi memenuhi kuota import gas cecair asl dari AS – langkah yang mengikis ketahanan nasional.

Ini bagaikan pembunuhan kedaulatan sesebuah negara merdeka yang kehilangan hak untuk merangka model ekonomi sendiri. Permainan pecah dan perintah AS semakin nyata. Mereka sengaja menawarkan perjanjian berbeza kepada setiap negara: Vietnam dapat tarif rendah, Indonesia syarat berat, Malaysia dihukum dengan tarif tingggi dan pencalonan duta anti Palestin ke negara ini. Dilema geopolitik ini menjadikan ASEAN bagai bidak-bidak di papan catur yang terjepit antara dua gergasi ekonomi di rantau ini.

Namun bukan bererti tiada jalan keluar. ASEAN masih boleh berubah dari bidak kepada pemain utama – jika bersatu. Pertama, dengan memperkukuh perdagangan dalam rantau melalui RCEP dan inisiatif ekonomi digital ASEAN. Kedua, mempelbagaikan rakan dagang ke Kesatuan Eropah dan negara-negara Global South.

Ketiga, dan yang paling mustahak, membangun model ekonomi berasaskan lokal daripada mengikut logik AS. Malaysia sudah memulakan langkah dengan Ekonomi Madani, Indonesia dengan Ekonomi Kerakyatan.

Di persimpangan ini, pilihan ASEAN jelas: terus menjadi bidak dalam permainan besar AS-China, atau berubah seperti bidak di papan catur yang sampai ke hujung
dan kemudian menang menjadi ratu. Tunduk bukan bererti kalah dan mencaturkan permainan dalam bidakan. “Kita bukan objek, tapi subjek sejarah. Jangan biarkan penjajahan baharu melalui tarif mengebumikan impian kemandirian kita,” tegas Anwar.

Apabila tarif dan kontrak dagang menjadi senjata penjajahan gaya baharu, persoalannya bukan lagi “siapa yang menang” tetapi “adakah kita mahu terus menjadi mangsa, atau bangkit sebagai pemain sebenar?”.

Nasib 650 juta penduduk rantau ini bergantung pada jawapannya dan masa untuk membuat pilihan semakin suntuk. Tarif AS adalah senjata penjajahan baharu. Mereka tidak menjajah dengan tentera tetapi dengan perjanjian perdagangan. Dalam permainan besar ini, adakah kita akan terus menjadi bidak, atau berani
melangkah sebagai ratu yang menentukan hala tuju sendiri?

Ismail Hashim Yahaya

 

Penulis adalah penganalisis bebas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast