Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas model yang didakwa memuat naik hantaran video dan gambar sijil pernikahan palsu seorang kerabat diraja, diperintah oleh Mahkamah Sesyen hari ini menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Hakim Norma Ismail memerintahkan Persana Avril Sollunda yang juga bekas pelakon, menjalani pemeriksaan di hospital itu selama sebulan bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan laporan kesihatan mentalnya.

Mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ravendejit Kaur sebelum prosiding selanjutnya ditentukan terhadap wanita itu. Perkara tersebut tidak dibantah peguam Mehgalaa Rajendran yang mewakili wanita terbabit.

“Mahkamah membenarkan tertuduh mendapatkan rawatan dan laporan penuh berkaitan kesihatan mentalnya,” kata Norma yang turut menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan kes.

Persana Avril, 43, didakwa membuat dan memulakan penghantaran gambar dalam sebuah video palsu di aplikasi TikTok melalui akaun “king.charles.ratu” yang memaparkan sijil pernikahan palsu antara seorang kerabat diraja dan Crown Princess Ratu Shana dengan niat menyakiti hati orang lain pada 25 Februari lalu.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di sini pada 10 pagi 26 Februari.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Persana Avril boleh dihukum denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast