JOHOR BAHRU – Kerajaan MADANI tidak wajar menyalahkan pentadbiran terdahulu untuk menyembunyikan kelemahan dan kegagalan mereka menguruskan negara.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ihsan, Zamrin Hamzah berkata, mengalih perhatian dan menuding jari menyalahkan pihak lain adalah sikap yang tidak bertanggungjawab.
Sepatutnya kata beliau, kerajaan perlu merangka dasar dan polis baharu jika perlu atau bersesuaian mengikut keadaan semasa selain berusaha menyelamatkan ekonomi negara daripada terus menguncup.
Katanya, sesetengah pihak yang berfikiran cetek membandingkan keadaan sekarang dengan situasi ekonomi semasa era Covid-19 adalah tidak cerdik sama sekali.
“Ini kerana keadaan semasa dan selepas Covid-19 adalah dua situasi berbeza. Jangan politikkan isu Covid-19.
“Begitu juga dengan isu darurat semasa Covid -19, ini bukan main-main kerana keputusan itu dibuat demi melindungi nyawa seluruh rakyat Malaysia.
“Jadi kita kena berfikiran rasional. Cari jalan pulihkan ekonomi atau setidak-tidaknya dapat bertahan dalam keadaan ekonomi yang teruk sekarang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, rakyat kini tidak boleh diperbodohkan dengan alasan tidak masuk akal dan dalam masa beliau menasihatkan supaya tidak ada lagi sikap ‘baling batu sembunyi tangan’.- MalaysiaGazette
















