Superintenden Raub Selamat.

JOHOR BAHRU – Gara-gara tertarik dengan tawaran pulangan pelaburan sehingga 80 peratus dalam masa singkat, seorang lelaki kerugian RM267,888 terjerat dalam pelaburan saham yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semuanya bermula apabila lelaki tempatan berusia 57 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan dalam Facebook.

“Mangsa kemudian berhubung dengan individu dikenali yang memperkenalkan diri sebagai Olivia Leong melalui aplikasi Whatsapp.

“Suspek kemudian memperdayakan mangsa dengan janji pulangan pelaburan sehingga 80 peratus dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa diarahkan untuk memuat turun aplikasi CYL Official dan berurusan dengan individu bernama George bagi tujuan transaksi.

Beliau berkata, mangsa melakukan sembilan pemindahan wang antara 4 hingga 17 Julai menerusi satu akaun yang keseluruhan berjumlah RM267,888.

Menyedari ditipu katanya, lelaki berkenaan membuat laporan di Balai Polis Pelangi Indah di sini semalam dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan hari ini.

Kes tersebut katanya, disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu dan memperoleh wang, harta melalui tipu daya.

Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum 10 tahun penjara atau disebat dan boleh didenda.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast