KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan tindakan kerajaan mendakwa pemberi maklumat berkaitan skandal mineral di Sabah.
Katanya, Albert Tei membuat pendedahan kepada media dan individu itu turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Apa yang menarik perhatian saya adalah, walaupun akta ini sepatutnya memberi satu faedah yang besar terhadap langkah memerangi rasuah, tapi kita dapati garis pelaksanaannya adalah agak sukar dalam hal ini sebagai contoh berkait jawapan Menteri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said) semalam.
“Jadi bukan semua perkara ada di mahkamah subjudis sebaliknya kalau perkara itu prejudis kepada kes barulah subjudis. Sekali lagi saya menuntut jawapan Menteri, kenapa pemberi maklumat dalam kes mineral Sabah telah dituduh di mahkamah tidak ada jaminan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 711) di Dewan Rakyat.
Semalam, Azalina berkata adalah menjadi amalan di seluruh dunia bahawa pemberi maklumat tidak boleh pergi kepada media sebaliknya perlu menyalurkan informasi atau membuat pendedahan kepada agensi berkaitan terlebih dahulu.
Jelasnya, tindakan pemberi maklumat membuat pendedahan kepada media berisiko mengundang penilaian dan andaian awal daripada orang awam.
Dalam masa yang sama Azalina menegaskan kerajaan bertanggungjawab memastikan keselamatan pemberi maklumat terjamin selepas membuat suatu pendedahan.
Pada 8 Jun lalu SPRM mengesahkan individu yang akan didakwa bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berhubung skandal rasuah lesen cari gali di negeri itu, tidak dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menjelaskan bahawa seseorang yang terbabit dalam kesalahan yang didedahkannya tidak layak memohon perlindungan pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ (pemberi maklumat). – MalaysiaGazette
















