Murad Jailani

PASIR GUDANG – Pembangkang takut untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen walaupun sudah dicabar.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, peluang sudah diberi tetapi pembangkang tetap mahu mengadakan perhimpunan mendesak Anwar melepaskan jawatan.

“Anwar secara terbuka mencabar pembangkang menggunakan saluran yang betul dan berani dengan membawa usul undi tidak percaya di Parlimen sekiranya benar mereka mahu menurunkan beliau.

“Namun sehingga kini, satu pun tidak tampil menyahut cabaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin Anwar berkata, beliau tidak menghalang sebarang perhimpunan atau kritikan terhadap kepimpinannya, termasuk tuntutan supaya beliau meletak jawatan.

Bagaimanapun beliau berkata, proses tersebut perlu dilaksanakan secara demokratik sama ada melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya di Parlimen.

Beliau juga mencabar pembangkang supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat kelmarin jika mempunyai sokongan mencukupi untuk menukar Kerajaan Madani yang dipimpinnya.

Himpunan Turun Anwar itu dijadualkan pada 26 Julai ini di Ibu negara dan dianggarkan seramai 15,000 dari seluruh negara akan menghadirinya.

Mengulas lanjut, Murad berkata, ketidakberanian pembangkang di Parlimen itu membuktikan perjuangan mereka bukan tulen untuk rakyat sebaliknya hanya memperbodohkan rakyat dengan retorik, persepsi dan hasutan murahan.

“Ironinya pembangkang masih terus berlagak seolah-olah mereka memperjuangkan suara rakyat, walhal mereka sendiri tidak berani menggunakan Parlimen yang sah dan berperlembagaan.

“Sebaliknya, mereka memilih untuk mengheret rakyat ke jalanan bagi memenuhi agenda politik sempit mereka,” katanya.

Rakyat ujarnya, harus buka mata dan gunakan akal serta bukan emosi.

“Jika benar pembangkang ada sokongan, buktikan di Parlimen, bukan melalui himpunan yang boleh jejaskan ketenteraman awam dan ekonomi negara,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau mereka (pembangkang) benar² jantan..buktikan dlm kalangan kamu yg dipilih bukan mengheret rakyat yg buta fakta sekali..dgn SDM rendah, sekadar ada otak, AKAL TIN KOSONG…dan kufur nikmat.

Comments are closed.