Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM).

KUALA LUMPUR – Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) menjelaskan, gambar tular Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Natasha Sim dan setiausaha syarikat, Emily Chong di sisi sebuah jet peribadi, dirakam sempena lawatan kerja rasmi di Indonesia.

Dalam kenyataannya, SMM menyatakan, lawatan kerja itu berkaitan pelaburan langsung asing (FDI) bersama sebuah syarikat perlombongan di republik tersebut.

Sehubungan itu, SMM menyifatkan tohmahan yang disebarkan menerusi laporan media dan kenyataan awam mutakhir ini sebagai palsu, mengelirukan dan berunsur fitnah.

Menurut SMM, lawatan kerja pertama ke negara jiran itu berlangsung pada Mac 2023, diatur oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Jonith Enggihon sebagai sebahagian daripada semakan wajar (due diligence) ke atas potensi kerjasama.

“Hasil lawatan itu, Jonith telah mengemukakan syor rasmi kepada Lembaga Pengarah SMM pada Disember 2023, dengan menyatakan syarikat perlombongan terbabit memiliki rekod cemerlang dalam industri berkaitan.

“Setelah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah pada Februari 2024, Natasha yang ketika itu memegang jawatan ketua pegawai strategi dilantik mengetuai perbincangan susulan berkaitan pelaburan berkenaan,”kata kenyataan itu semalam.

Lawatan rasmi seterusnya pada Ogos 2024 yang menjadi latar gambar tular itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memuktamadkan rundingan pelaburan tersebut.

Sehubungan itu, SMM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas yang dikaitkan dengan gambar tular melibatkan Natasha dan Emily di sisi jet peribadi tersebut.

Tambah kenyataan itu, kedua-dua individu berkenaan turut memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik isu berkenaan dibangkitkan pada Disember 2024.

“Mereka juga menyerahkan kenyataan berserta dokumen sokongan secara proaktif, manakala siasatan dalaman bebas yang selesai pada Februari 2025 mendapati tiada salah laku, konflik kepentingan atau keuntungan peribadi berlaku,” katanya.

Jelas syarikat itu lagi, pihaknya bukan badan pelesenan dan ketua pegawai eksekutif tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang atau pentadbiran untuk meluluskan lesen.

SMM juga percaya isu itu sengaja dibangkitkan semula berkemungkinan bermotif politik kerana berkait rapat dengan tindakan undang-undang yang sedang diambil terhadap Jonith dan ahli perniagaan, Albert Tei.

Kedua-duanya kini berdepan saman berhubung dakwaan penipuan, pelanggaran amanah fidusiari, pemalsuan dokumen rasmi serta konspirasi menjejaskan reputasi syarikat.

Menurut SMM, tuduhan yang ditimbulkan ketika ini dilihat sebagai percubaan untuk mengitar semula isu yang telah dibawa ke mahkamah dan bertujuan merosakkan nama baik syarikat.

Sehubungan itu, SMM menggesa semua pihak termasuk media, ahli politik dan orang awam agar menyemak fakta sebelum menyebarkan dakwaan yang tidak sahih.

Syarikat itu turut memberi amaran bahawa mereka tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk organisasi media, tokoh awam atau individu yang menyebarkan fitnah.

“Sekiranya fitnah ini terus dimainkan, tindakan undang-undang akan diambil atas kesalahan penyebaran maklumat palsu dengan niat jahat,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast