Datuk Abdul Aziz Sapian

ISKANDAR PUTERI – UMNO Bahagian Iskandar Puteri tidak dengan gentar hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang mahu merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar daripada UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, ini termasuk bertanding dua atau tiga penjuru di DUN tersebut.

Malah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu berkata, UMNO juga bersedia jika Pakatan Harapan (PH) mahu bertanding di DUN Skudai.

“UMNO Bahagian Iskandar Puteri tidak gentar dengan sebarang percaturan politik Amanah mahupun rakan mereka dalam PH.

“Apa jua bentuk pertandingan sama ada dua penjuru atau tiga penjuru akan kami hadapi dengan penuh keyakinan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini Amanah Kawasan Iskandar Puteri mengeluarkan kenyataan parti itu dan Pakatan Hadapan (PH) Johor sedia bertanding di kerusi DUN Kota Iskandar dan DUN Skudai dalam PRN nanti.

Ketua Amanah Kawasan Iskandar Puteri, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, pendirian rasmi tersebut adalah hasil daripada keputusan Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan Iskandar Puteri yang diadakan kelmarin.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor itu berkata, Amanah dan PH wajar bertanding secara solo di dua kerusi DUN dalam Parlimen Iskandar Puteri itu.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, UMNO menghormati hak mana-mana parti politik untuk bertanding dan menentukan calon mereka di mana-mana kerusi.

Namun katanya, bagi UMNO penentuan calon dan strategi bertanding sentiasa berteraskan keutamaan rakyat, kekuatan akar umbi serta keperluan memastikan kestabilan politik demi kelangsungan pembangunan negeri Johor.

Jelasnya, rundingan dan keputusan pembahagian kerusi adalah hak kepimpinan tertinggi parti dan gabungan politik yang terbabit.

Tegas beliau, keputusan itu bukan ditentukan oleh kehendak mana-mana pihak di peringkat kawasan.

“Jika Amanah memilih untuk memecah undi sesama mereka, UMNO melihat ini sebagai bukti kelemahan PH yang gagal menguruskan persefahaman dalaman.

“Rakyat akan menilai siapa yang benar-benar menjaga kepentingan mereka, dan siapa yang sekadar mengejar kuasa,” katanya.

UMNO katanya, kekal komited memperkukuh kestabilan politik Johor khususnya di kawasan strategik Kota Iskandar agar kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di DUN Kota Iskandar yang diwakili UMNO katanya, akan terus membawa suara rakyat sehingga tamat penggal tanpa terganggu dengan retorik politik Amanah.

“UMNO Bahagian Iskandar Puteri akan terus memperkukuh kekuatan akar umbi, memperhebatkan gerak kerja dan memastikan kawasan ini kekal di bawah kepimpinan yang berwibawa, stabil, dan sentiasa berkhidmat demi rakyat, bukan sekadar slogan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast