JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah rugi RM165,201 selepas diperdaya scammer yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier dan anggota polis mendakwanya terlibat aktiviti penggubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata,
kejadian bermula apabila wanita berusia 58 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat kurier.
“Suspek yang menggunakan nombor telefon 016-7956063 memaklumkan kononnya terdapat bungkusan mengandungi buku cek dan token emas atas nama mangsa.
“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bernama ‘Lee’, menggunakan nombor 010-5260467.
“Suspek telah menakut-nakutkan mangsa dengan mendakwa dia terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan telah disenarai hitam oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Raub, akibat panik dan takut, mangsa diperdaya untuk membuat beberapa pindahan wang atas alasan untuk tujuan siasatan dan dijanjikan wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan selesai.
Katanya, mangsa telah 26 transaksi ke empat akaun bank yang berbeza antara 15 hingga 18 Julai dengan jumlah keseluruhan RM165,201.
“Mangsa difahamkan membuat transaksi terlibat menggunakan wang simpanan peribadi serta pengeluaran daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik mangsa.
“Setelah wang dipindahkan, mangsa diminta untuk melakukan pindahan tambahan, namun wang yang dijanjikan untuk dipulangkan masih belum diterima. Menyedari dirinya telah ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya.
Raub berkata, mangsa tampil membuat aduan di Balai Polis Larkin di sini kelmarin.
Menurut beliau, semakan awal mendapati salah satu akaun yang digunakan sindiket pernah terlibat dalam kes penipuan sebelum ini, manakala akaun lain masih dalam proses pengesahan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.
Beliau menasihtkan orang ramai agar tidak mudah percaya panggilan telefon daripada individu mengaku sebagai pegawai penguat kuasa yang meminta maklumat peribadi atau arahan pemindahan wang.- MalaysiaGazette















