ISKANDAR PUTERI – Persediaan berdepan kemungkinan tumpahan bahan kimia yang dibawa merentasi sempadan Malaysia dan Singapura perlu dipertingkat dalam usaha menangani insiden yang boleh menjejaskan nyawa dan alam sekitar.
Ia berikutan kira-kira 150,000 tan bahan kimia dibawa merentasi sempadan melalui Laluan Kedua (Linkedua) Gelang Patah di sini setiap tahun.
Justeru penting Jawatankuasa Bersama Alam Sekitar Malaysia-Singapura (MSJCE) terus menjalankan latihan tumpahan bahan kimia menerusi Pelan Tindak Balas Kecemasan Bersama (JERP) bagi menguji keberkesanan pelan tersebut.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, program dwitahunan itu dibangunkan oleh
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura yang melibatkan 15 agensi berkaitan.
Beliau berkata, latihan berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kesediaan dan kecekapan antara dua negara dalam menangani insiden tumpahan bahan kimia berbahaya.
“Kita yakin bahawa komitmen dan kerjasama erat antara agensi dari kedua-dua negara akan terus diperkukuhkan. Pelan Tindak Balas Kecemasan Bersama yang diwartakan pada 7 Julai lalu yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan dalam negara membolehkan pelaksanaan tugas yang lebih efisien dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas latihan simulasi kecemasan bagi menangani tumpahan bahan kimia di bawah kerjasama MSJCE di LinKedua di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif NEA Singapura, Wong Kang Jet.
Wan Abdul Latiff seterusnya berkata, latihan tersebut penting dalam memperkukuh keupayaan agensi tindak balas kecemasan kedua-dua negara untuk bertindak pantas dan berkesan demi melindungi keselamatan awam sekiranya berlaku kejadian sebenar.
Sementara itu, Kang Jet pula berkata, kejayaan latihan tersebut adalah hasil hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Singapura.
“Latihan hari ini memperlihatkan betapa pentingnya kerjasama berterusan antara kedua-dua negara dalam menangani insiden kimia yang semakin kompleks.
“Unsur-unsur baharu seperti jenis bahan kimia dan pendekatan tindak balas turut dimasukkan bagi memastikan kita sentiasa bersedia,” katanya.
Tambahnya, langkah tersebut adalah strategi jangka panjang dalam menghadapi cabaran semasa serta mengekalkan integriti dan keyakinan awam terhadap sistem kawal selia alam sekitar negara.- MalaysiaGazette
















