KUALA LUMPUR – Pembangkang diminta berhenti daripada terus menghentam secara membuta tuli segala keputusan dan langkah yang diumumkan Perdana Menteri dan kerajaan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, di sebalik asakan pembangkang selama ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap sabar dan fokus dalam mencari jalan meringankan beban rakyat,
Ini termasuk memulangkan semula lebihan hasil negara yang dijana melalui perbelanjaan berhemah untuk kebajikan rakyat seperti yang diumumkan menerusi Ucapan Khas Penghargaan Kepada Rakyat, hari ini.
Katanya, ketika keadaan ekonomi global yang tidak menentu, Malaysia menerusi Kerajaan Madani masih mampu bertahan dan menjalankan segala ikhtiar untuk membantu segenap lapisan rakyat menerusi langkah-langkah yang berani dan progresif.
”Pihak pembangkang haruslah berhenti daripada terus mengkritik dan menghentam secara membuta tuli, menjalankan gerakan “Turun Anwar” sedangkan tidak pernah memberikan sebarang cadangan, syor dan idea-idea progresif untuk memajukan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.
”Dalam suasana ekonomi dunia dan geopolitik antarabangsa yang terus tidak menentu, inilah masanya untuk seluruh rakyat bersatu menggembleng tenaga, fikiran dan hati yang kudus untuk mempertahankan kestabilan, keamanan dan kemakmuran yang berterusan.
”Pengumuman penting Perdana Menteri hari ini haruslah disambut dengan perasaan gembira dan bersyukur bukan dengan cacian dan amarah yang tiada penghujung, “katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, langkah kerajaan menurunkan harga minyak RON95, bantuan tunai Rahmah RM100 kepada semua rakyat Malaysia dan meluaskan bantuan Rahmah serta menangguhkan kenaikan kadar tol adalah satu langkah berani demi mengurangkan beban rakyat.
Tambah Mujahid, semua langkah tersebut hanya boleh dilaksanakan jika Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang stabil, kemampanan ekonomi dan rakyat yang sentiasa bersatu menyokong sebuah pemerintahan yang mementingkan kehidupan rakyat terbanyak. -MalaysiaGazette
















