JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menerima empat aduan rasmi sejak Ops Kesan 4.0 dilaksanakan 1 Julai lalu.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, aduan itu melibatkan dua bengkel dan kawasan parkir di daerah ini serta satu kedai runcit di Kota Tinggi.
“Semua aduan itu kini dalam tindakan siasatan yang didakwa menaikkan harga secara tidak munasabah susulan peluasan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Kita sedang meneliti setiap aduan secara menyeluruh untuk memastikan sama ada benar berlaku pencatutan atau pelanggaran di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).
“Siasatan melibatkan semakan dokumen harga, kos dan tahap kerjasama peniaga dalam memberikan maklumat yang diperlukan,” katanya pada sidang media selepas sesi turun padang pemantauan Ops Kesan 4.0 di Hwa Tai Supermart, Larkin Junction di sini hari ini.
Beliau berkata, sekiranya didapati bersalah, individu boleh dikenakan denda hingga RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh didenda hingga RM500,000.
Lilis Saslinda memberitahu, sepanjang pelaksanaan Ops Kesan 4.0 dari 1 hingga 21 Julai 2025, sebanyak 48 premis telah diperiksa di seluruh negeri.
Pemeriksaan itu tertumpu kepada barangan keperluan asas seperti ayam, roti putih dan makanan dalam tin.
“Daripada jumlah itu, 48 notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) telah dikeluarkan kepada peniaga yang diperiksa untuk kita menilai sama ada berlaku kenaikan harga tidak munasabah,” katanya.
Jelasnya, Ops Kesan 4.0 itu dilaksanakan bagi memastikan tiada peniaga sewenang-wenangnya menaikkan harga atas alasan pelaksanaan semula SST.
“Kita guna pendekatan pendidikan dan penguatkuasaan. Dalam masa sama, kita turut kemukakan mesej jelas kepada peniaga jangan suka hati kenakan SST,” ujarnya.
Justeru, beliau menggesa pengguna di Johor yang berdepan situasi mencurigakan berkaitan harga barangan supaya segera menyalurkan aduan kepada KPDN untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette
















