Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Ucapan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, hari ini mencerminkan tekad kerajaan perpaduan untuk terus memelihara amanah dan kebajikan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, menerusi pengumuman khas itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi penghormatan yang selayaknya kepada rakyat Malaysia yang menjadi tulang belakang kestabilan negara.

“Tegas pada dasar, jelas pada hala tuju. Perdana Menteri berjaya menanam keyakinan bahawa reformasi fiskal sedang berjalan atas landasan yang betul dengan sokongan rakyat sebagai nadi utama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, langkah-langkah yang diumumkan juga membuktikan keberkesanan dasar MADANI dalam membela rakyat tanpa mengira latar belakang dan kedudukan geografi

“Sebagai anak Sarawak, saya melihat sendiri makna sebenar dasar menyeluruh. Kenaikan harga lantai padi, insentif getah, dan program akar umbi seperti Sejati MADANI menjawab keperluan rakyat luar bandar.

“Kampung Angkat MADANI diperluas ke 200 kampung dan sasaran 1,000 Sekolah Angkat MADANI menjelang akhir 2025 pastinya memberi manfaat kepada semua negeri.

“Begitu juga langkah memperluaskan Jualan Rahmah MADANI ke 600 DUN seluruh negara,” ujarnya lagi.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut menzahirkan penghargaan atas keberanian PETRA menyusun semula subsidi tenaga dan tarif elektrik yang mana mulai Julai ini, 85 peratus rakyat akan membayar bil elektrik lebih rendah sehingga 14 peratus.

Selain itu, pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 akan menyaksikan harga bahan api itu diturunkan kepada RM1.99 seliter manakala penjimatan subsidi boleh disalur semula kepada rakyat Malaysia, bukannya warga asing.

Jelas beliau, kesemua langkah yang diumumkan itu membuktikan reformasi tidak semestinya membebankan, malah ia memberi keadilan dan kelegaan kepada majoriti rakyat.

Dalam kenyataan yang sama, Ahli Parlimen Petra Jaya itu yang juga Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak menyambut baik pengumuman Cuti Umum Tambahan pada 15 September 2025 sempena Hari Malaysia tahun ini.

“Ayuh semua marilah kita bersatu hati, berganding tenaga, terus mendukung agenda MADANI yang memberi makna kepada kehidupan rakyat.

“Dari kampung ke bandar, dari Semenanjung ke Borneo, semua rakyat berhak menikmati kemajuan yang adil dan saksama,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast