Ketua AMK Bukit Bintang, Firzan Hakimi

KUALA LUMPUR – Pengumuman yang dibuat menerusi Penghargaan Kepada Rakyat oleh Perdana Menteri hari ini menunjukkan kerajaan sedang membina satu kerangka ekonomi yang bukan sahaja bertunjangkan data dan pertumbuhan tetapi berjiwa rakyat dan berasaskan keadilan sosial.

Ketua Angkatan Keadilan (AMK) Bukit Bintang, Firzan Hakimi berkata, dalam banyak hal, pendekatan tersebut mewakili satu perubahan dan reformasi fiskal yang progresif.

Jelas beliau, pendekatan tersebut menunjukkan kecekapan kewangan negara tidak lagi diukur semata-mata melalui defisit atau lebih tetapi melalui sejauh mana kekayaan negara dapat dikembalikan kepada rakyat.

“Pengumuman khas Perdana Menteri hari ini bukan sekadar satu pengumuman bantuan kewangan atau cuti umum semata-mata, ia sebenarnya mencerminkan satu perubahan besar berdasarkan cara kita mengurus kekayaan dan membina semula kepercayaan rakyat terhadap peranan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, langkah – langkah seperti SARA untuk semua rakyat dewasa, taraf gaji rakyat yang lebih bermaruah, dan penurunan harga RON95 secara bersasar, bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan Kerajaan MADANI menangani kos sara hidup, tetapi juga membawa satu bentuk intervensi fiskal baharu yang lebih inklusif.

Sumbangan RM100 kepada semua rakyat dewasa melalui MyKad pula adalah simbolik kepada pendemokrasian fiskal di mana seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kelas pendapatan, diraikan sebagai sebahagian daripada kekayaan negara. Ia juga merupakan satu penghargaan terbuka.

Pengumuman penurunan harga RON95 kepada RM1.99 melalui pendekatan subsidi bersasar adalah contoh terbaik bagaimana ketirisan fiskal boleh diatasi tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat. Ini membuktikan bahawa dengan data dan sistem penyampaian yang tepat, kerajaan mampu menyalurkan bantuan secara berkesan tanpa sebarang bentuk pembaziran.

Program seperti Sejati MADANI dan Kampung Angkat MADANI bukan sekadar program pembangunan komuniti.

Ia adalah model ekonomi pembangunan dari bawah, di mana komuniti diberi dana, ruang dan kepercayaan untuk menentukan bentuk kegiatan ekonomi mereka. Ini adalah prinsip pemerkasaan ekonomi sebenar, tidak berpandukan pendekatan top-down yang statik. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast