JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor dan Persekutuan wajar mengadakan rundingan rasmi berkenaan 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dikembalikan seperti yang dibangkitkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Ketua Dewan Pemuda Dewan Pemuda Pas Johor, Mohd Ridhwan Salamun berkata, rundingan tersebut perlu memuktamadkan formula agihan hasil yang lebih adil kepada negeri-negeri maju seperti Johor.

“Kerajaan wajib menyatakan secara terbuka berapa jumlah sebenar hasil dikutip dari Johor dan berapa yang dikembalikan demi prinsip akauntabiliti.

“Sebahagian hasil pulangan ini wajar difokuskan kepada program seperti inkubator belia usahawan, peluang pekerjaan strategik, sukan dan kesihatan komuniti serta dana inovasi belia Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Tunku Mahkota Ismail bertitah, sebanyak 25 peratus hasil cukai dipulangkan yang akan membolehkan Johor berdiri atas kaki sendiri sekaligus tidak membebankan kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah, permohonan itu selepas melihat beberapa kelemahan yang berlaku baru-baru ini melibatkan kemudahan awam dan projek pembangunan.

Antaranya kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang, isu gangguan sistem autogate di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini selain projek tebatan banjir.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, langkah itu bukan sahaja mempercepat pelaksanaan projek keperluan rakyat tetapi mengurangkan kebergantungan kepada kelulusan kerajaan Persekutuan yang sering mengambil masa lama.

Di samping itu, katanya, dapat meningkatkan kecekapan pengurusan dana di peringkat kerajaan negeri dan mengukuh autonomi ekonomi Johor selaku negeri maju serta strategik.

Katanya, Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ) mencadangkan penubuhan Dana Pembangunan Johor sekiranya Kerajaan Persekutuan bersetuju memulangkan semula 25 peratus hasil cukai itu.

Jelasnya, pulangan cukai berkenaan boleh disalurkan secara terus untuk beberapa sektor penting di negeri ini.

“Antaranya sektor kesihatan melibatkan hospital daerah dan klinik luar bandar. Begitu juga Infrastruktur membabitkan jalan, tebatan banjir dan air.

“Ini termasuk sektor pendidikan seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pemberdayaan belia dan ekonomi anak muda,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast