KUALA LUMPUR – Penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya utama tahun ini bukan satu keputusan mudah namun dibuat kerajaan dengan pertimbangan teliti dan penuh tanggung jawab.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri sebentar tadi membuktikan kerajaan mendeangar suara rakyat dan memberi keutamaan dalam setiap dasar yang dilaksanakan.
Jelas beliau, penangguhan kenaikan kadar tol itu menyebabkan kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) perlu menanggung pampasan sebanyak lebih RM500 juta kepada syarikat konsesi yang terlibat, agar operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tetap berjalan dengan baik dan selamat untuk semua.

”Penangguhan kenaikan kadar tol ini dapat memberi manfaat dan mengurangkan bebanan bayaran tol kepada kira-kira 941,000 pengguna, khususnya pengguna harian yang berulang alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari.
”Saya dan seluruh warga KKR akan terus komited memastikan jalan raya dan lebuh raya negara sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan mampu dimanfaatkan oleh semua golongan rakyat, tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju menangguh kenaikan tersebut supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Ini menyebabkan kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta, katanya ketika membuat pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri yang turut disiarkan secara langsung, hari ini.
Sepuluh lebuh raya yang terlibat dalam penangguhan kenaikan kadar tol:
(i) Lebuhraya Cheras – Kajang (GRANDSAGA);
(ii)Lebuhraya KL – Kuala Selangor (LATAR);
(iii)Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB). (iv)Lebuhraya Senai – Desaru (SDE);
(v)Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2); (vi)Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE);
(vii)Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS);
(viii)Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE);
(ix)Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX); dan
(x)Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN















