Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berucap ketika Perhimpunan Warga MOF di Dewan Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 JULAI 2025

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak pernah berniat untuk terus menghukum mana-mana individu yang dikaitkan dengan tuduhan kesalahan rasuah walaupun mereka telah meninggal dunia atau berusia.

Sebaliknya, jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apa yang dilakukan hanya ingin mengambil wang diambil oleh individu tersebut secara tidak sah yang mengumpul kekayaan tanpa perniagaan yang jelas.

Beliau turut menempelak pihak pembangkang yang mempertahankan golongan itu dan lebih rela berdiam diri dalam isu menangani rasuah di negara ini.

“Kalau lihat dalam kalangan pembangkang tidak banyak bicara soal rasuah. Hairan, kalau dulu saya masa jadi pembangkang, rasuah itu nombor satu. Sekarang rasuah bahkan kalau kita ambil tindakan, mana boleh kasihan dia sudah tua atau sudah tiada.

“Kita bukan hendak hukum orang mati, kita hendak ambil balik duit yang diambil cara tidak sah. Tapi kita boleh senang kata tidak ada apa-apa, maknanya guna ruang Parlimen pertahankan orang yang memunggah kekayaan berbilion, meniaga apa? Tidak tahu tetapi kekayaan RM4 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan hadir Perhimpunan Warga MOF di Dewan Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 JULAI 2025

Ketika ini  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat dan menjejaki kewangan aset melibatkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarganya.

Bulan lalu, tiga kediaman mewah di London ialah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik isteri Daim iaitu Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga, berjaya dibekukan hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan nilai berjumlah GB£132 juta (RM758.2 juta).

Hasil siasatan dijalankan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubung dakwaan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya menerima maklumat terbaru daripada agensi luar yang didakwa berkaitan harta serta pemilikan aset bernilai tinggi oleh Allahyarham Daim dan keluarga.

Susulan itu, pihaknya membuka lapan kertas siasatan baharu berdasarkan maklumat berkenaan.

Azam dipetik berkata, aset berkenaan didakwa dikesan di Switzerland, United Kingdom (UK) dan beberapa negara lain.

Setakat ini, sebanyak RM2 bilion harta milik Allahyarham Daim sudah dibekukan sejak kes disiasat pada Februari 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast