SEBERANG JAYA – Tindakan pembangkang memperlekeh bantuan tunai RM100 bukan sekadar menyerang Perdana Menteri, sebaliknya menghina maruah golongan miskin, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan.
Tegas beliau, kenyataan sinis dan sindiran terhadap inisiatif tersebut menggambarkan kurangnya empati terhadap realiti hidup golongan B40 yang amat memerlukan sebarang bentuk bantuan kewangan.
“Kalau bagus (inisiatif kerajaan), kita kena cakap bagus. Kalau tak bagus, kita tegur. Tapi jangan sesekali perlekeh usaha membantu orang susah.
“Bila pembangkang buat macam tu (perkecilkan pemberian bantuan tunai RM100) mereka bukan memperlekehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka sebenarnya memperlekehkan orang miskin.
“Jangan buat jenaka daripada hidup susah orang lain. Sepatutnya kena ada rasa belas kasihan,” katanya kepada pemberita hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Beliau turut menyelar sikap segelintir pihak yang seolah-olah tidak memahami kesan besar bantuan RM100 kepada rakyat biasa.
“Kalau kita bandingkan pemberian itu kepada golongan T20, memanglah mereka akan perlekehkan. Tapi tahu tak berapa ramai rakyat dalam kategori B40 dan RM100 itu boleh beli berapa kilo beras, ayam untuk mereka yang memerlukan,” katanya.
Terdahulu, Ramanan menghadiri Majlis Taklimat dan Penyerahan Pembiayaan PENN 2.0 turut berkongsi kejayaan program Pembiayaan Perniagaan PENN 2.0.
Jelasnya, program itu telah memberi manfaat kepada 7,074 wanita India di seluruh negara, dengan jumlah pembiayaan mencecah RM48.3 juta setakat ini.
“Di Pulau Pinang sahaja, seramai 214 usahawan wanita India menerima pembiayaan PENN, melibatkan jumlah RM1.23 juta.
“Daripada jumlah keseluruhan, lebih 1,000 adalah usahawan baharu yang berjaya memulakan perniagaan pertama mereka,”katanya.
Program PENN merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Madani untuk memberdayakan ekonomi wanita India menerusi sokongan kewangan dan keusahawanan. – MalaysiaGazette
















