KUALA LUMPUR – Pembinaan tiga buah Kapal Misi Pesisir (LMS) Kelompok Kedua oleh syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM) di Istanbul Shipyard mengikut jadual.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata LMS pertama dijangka siap dan akan dapat diluncurkan pada April tahun depan.
Diikuti LMS kedua pada Jun dan yang ketiga pada Ogos tahun sama.
“Pembinaan LMS Batch Kedua merupakan perolehan pertama selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan dengan Kerajaan (G2G) bagi perolehan produk pertahanan,” katanya ketika lawatan kerja ke Republik Türkiye.
Menurutnya, perolehan tersebut disusuli Program Kolaborasi Industri (ICP) yang berpotensi memberikan kesan besar terhadap industri pertahanan tempatan, misalnya melalui pemindahan teknologi.
“Ia akan dimuktamadkan sebelum berakhir tahun ini,” tambah beliau.
MoU G2G tersebut dimeterai ketika lawatan rasmi sulung Mohamed ke Türkiye pada Jun tahun lalu.
Sehubungan itu, Mohamed menyifatkan kemajuan pembinaan kapal berkenaan penting kerana ia menjadi kayu ukur kepada pendekatan perolehan baharu oleh Kerajaan.
“Türkiye telah melalui proses yang serupa sebelum menempa nama sebagai salah satu negara pengeluar produk pertahanan. Melalui ICP dan secara berfasa, Türkiye berjaya membangunkan industri pertahanan tempatannya.
“Semoga hubungan baik antara dua negara dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Türkiye ini berupaya melonjak industri pertahanan tempatan dan pada masa yang sama, mengukuhkan kedaulatan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















