KUALA LUMPUR – Sebanyak enam pertubuhan masyarakat sivil (CSO) menolak perubahan kerajaan pada pertengahan penggal melalui pintu belakang seperti Langkah Sheraton yang menyebabkan politik negara kucar-kacir di tengah-tengah pandemik Covid-19.
Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, katanya, sekali pun ada pertukaran kerajaan di tengah jalan, kerajaan seterusnya belum tentu mempunyai komitmen yang jelas dan bersungguh-sungguh untuk melakukan reformasi institusi, atau terlalu rapuh untuk melakukan sebarang perubahan yang bermakna.
Sehubungan itu, tegasnya, CSO berkenaan ingin melihat pelaksanaan reformasi institusi yang dapat menyediakan gelanggang yang sama rata untuk semua parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
“Kami sekali lagi menegaskan bahawa semua pihak, terutama kerajaan dan pembangkang perlu mengangkat agenda reformasi yang tulen.
“Pembangkang juga memikul beban tanggungjawab kepada rakyat untuk semak dan imbang kepada kerajaan demi kebaikan negara,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih); C4 Center; Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS); Projek Sama; Pusat Komas dan Transparency International.
Tambah kenyataan itu, Malaysia mempunyai banyak potensi untuk ditawarkan di peringkat antarabangsa dan potensi itu dapat direalisasikan sekiranya negara menjunjung nilai-nilai hak asasi manusia, tadbir urus yang baik dan kebertanggungjawaban yang tinggi.
Di peringkat rakyat, ujarnya, CSO berkenaan akan terus berada di atas landasan menuntut reformasi institusi sebagai satu blok penting mewakili tuntutan rakyat.
“Posisi ini penting sebagai mekanisme semak dan imbang kepada agenda reformasi terhadap mana-mana gabungan politik,” katanya.
Sementara itu, menerusi kenyataan tersebut, CSO terlibat turut menjelaskan berkenaan pertemuan mereka dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 1 Julai lalu, yang dikaitkan dengan Himpunan Turun Anwar yang dirancang pembangkang esok.
Menurutnya, pertemuan itu tidak mempunyai agenda khusus tetapi merupakan peluang terbaik kepada CSO terlibat untuk mengajukan cadangan-cadangan reformasi institusi yang penting agar diangkat oleh Perikatan Nasional (PN), khususnya Hamzah.
Ujarnya, CSO terlibat percaya negara memerlukan satu reformasi institusi yang menyeluruh, kukuh dan bermakna untuk rakyat bergerak ke hadapan dengan sistem politik dan keadilan yang lebih baik.
Tambahnya, reformasi institusi adalah benteng untuk rakyat menyemak imbang kerajaan dan para penguasa agar tidak menyalahgunakan institusi dan kuasa yang diturunkan kepada mereka demi kepentingan politik dan peribadi.
“Atas premis ini, kami sedia malah telah pun berjumpa, berbincang dan berforum dengan Ahli-Ahli Parlimen merentas parti politik bagi mendesak agenda reformasi ini dilaksanakan oleh Kerajaan Madani.
“Perlu ditegaskan setiap libat urus harus berasaskan kepada iltizam bersama untuk membawa perubahan serta nilai kebersamaan, ketelusan dan kejujuran,” katanya. – MalaysiaGazette
















