Anggota bomba mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit dan dalam kemalangan di Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Satu siasatan telus dan perlu dilakukan melibatkan kemalangan mengorbankan dua nyawa di Jalan Johor Bahru-Air Hitam menghala ke Skudai, Ahad lalu yang didakwa berpunca daripada kecuaian pihak kontraktor.

Presiden Persatuan Pemuda, Puteri Malaysia Bersatu (Perimau Malaysia), Mohd Ridhwan Othman berkata, ini kerana kemalangan itu didakwa berpunca daripada kecuaian kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) semasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Kontraktor terbabit menjalankan kerja-kerja siraman pokok bunga ditengah jalan tanpa pengawasan atau meletak papan tanda dan sistem kawalan yang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang betul.

“Keadaaan ini menyebabkan seorang pemandu e- hailing dan penumpangnya warga Singapura maut melanggar belakang lori terbabit akibat kecuaian kontraktor terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Kemalangan pada pukul 11.27 pagi Ahad itu melibatkan kereta Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun bersama-sama seorang penumpang lelaki warga Singapura berumur 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, kereta tersebut yang menjalankan khidmat e-hailing idalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju ke Skudai.

Katanya, kereta itu hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebelah kiri sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, penumpangnya pula cedera parah dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” ujar Balveer Singh.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, siasatan menyeluruh dan terbuka wajar dilakukan kerana jika benar seperti didakwa, dua mangsa tersebut yang tidak berdosa perlu mendapat pembelaan sewajarnya.

“Rakyat Malaysia terutama di Johor mempersoalkan SOP yang betul dalam melaksanakan tugas dan mengabaikan aspek keselamatan di kawasan lalu lintas sibuk dan kenderaan laju,” tegasnya.

Beliau tidak mahu pihak terbabit hanya memikirkan soal keuntungan dengan mengenepikan faktor keselamatan.

Perimau katanya, mempersoalkan kegagalan pihak MBJB memantau tugasan kontraktor yang dilantik termasuk siasat jika berkemungkinan berlaku unsur rasuah dalam pemberian kontrak kerana dilihat aspek keselamatan diabaikan.

Menurutnya, jika terbukti bersalah perlu dikenakan tindakan dan disenarai hitam syarikat tersebut daripada melakukan semua kerja penyelengaraan di negeri ini.

“Kita sedia maklum ini bukan kemalangan biasa tetapi disebabkan kelalaian pihak lain sehingga menjejaskan imej Bandaraya Johor Bahru sebagai bandar raya moden dan selamat.

“Waris mangsa berhak menuntut keadilan dan ganti rugi atas kecuaian ini. Oleh demikian Akta Keselamatan Pekerjaan 1994, Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kanun Keseksaan perlu diguna pakai daam perkara ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast