KULAI – Talian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang akan mula beroperasi pada September ini bertujuan memudahkan orang ramai membuat aduan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, NSRC akan beroperasi 24 jam sehari khusus untuk mengambil aduan berkenaan penipuan scam yang kini semakin berleluasa dalam media sosial.
Ahli Parlimen Kulai itu menjelaskan, selepas ini mangsa tidak lagi perlu membuat aduan di balai polis selepas menghubungi talian 997.
“Sebelum ini, talian NSRC ini beroperasi 12 jam sehari sahaja iaitu bermula 8 pagi sampai 8 malam tetapi bermula September ini akan beroperasi 24 jam sehari.
“Sebelum ini, bila buat aduan melalui talian 997, mereka masih perlu membuat laporan polis namun kini tidak perlu lagi pergi ke balai kerana 997 ataupun NSRC telah diambil alih oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek pembinaan longkang konkrit bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Melayu Bukit Batu, di sini, hari ini.
Menurut Nie Ching, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan sebanyak 46,817 iklan penipuan dalam media sosial dari awal tahun hingga 15 Julai lalu.
Beliau memberitahu, 80 peratus daripada iklan penipuan berkenaan dikesan menerusi Facebook.
Katanya, pada 2023, pihaknya telah mengambil tindakan penurunan terhadap 6,297 iklan bersifat penipuan dalam semua platform media sosial.
“Pada tahun lalu, jumlah itu meningkat kepada 63,652 iklan penipuan dan pada tahun ini sehingga 15 Julai lalu, sebanyak 46,817 iklan diturunkan. Jadi, kita memang boleh nampak bahawa angka ini semakin meningkat.
“Saya sendiri juga menjadi modal penipuan apabila gambar saya diguna pakai untuk iklan pemberian buku secara percuma pada minggu lalu. Walaupun iklan itu sudah diturunkan tetapi muncul akaun lain menaikkan iklan yang sama.
“Saya rasa tidak gembira dengan Meta, walaupun sudah melalui SKMM iklan bersifat penipuan tetapi mereka (Meta) masih benarkan orangg lain guna iklan itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















