BATU KAWAN – Seorang lelaki tempatan disaman selepas memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di lorong motosikal dekat Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, tindakan pemandu berusia 29 tahun itu tular selepas video berdurasi 21 saat itu dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun TikTok.
Jelasnya, susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan berjaya mengesan pemandu terbabit untuk tindakan lanjut.
“Semakan kita mendapati mpv berwarna hitam itu dipandu di laluan motosikal di Kilometer 8.9 arah Batu Maung menghala ke Batu Kawan.
“Hasil siasatan mendapati pemandu lelaki itu dalam perjalanan dari George Town ke Batu Kawan dan tersalah masuk ke lorong motosikal.
“Dia hanya menyedari kesilapan selepas memandu kira-kira 150 meter, namun tidak dapat berpatah balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Jay January, pihaknya kemudian mengeluarkan saman ke atas pemandu tersebut di bawah Kaedah 8(3), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana tidak mematuhi papan tanda lalu lintas.
“Justeru kita menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mengambil ringan aspek keselamatan.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















