KUALA LUMPUR – Ketua Muslimat Pas Johor, Zakiah Tukirin menjawab persoalan yang sering dibangkitkan berhubung siapa yang akan menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan penganjuran Himpunan Turun Anwar oleh pembangkang.
Menurut beliau, masih ramai Ahli Parlimen yang lebih bersih, lebih berwibawa dan benar-benar layak untuk memikul amanah rakyat sebagai Perdana Menteri.
Tegas beliau, kerajaan hari ini bukanlah kerajaan yang stabil, tetapi hanya kelihatan stabil kerana dibina atas tawar-menawar jawatan dan rundingan politik yang menggadaikan prinsip.
“Stabil kerana dibeli bukan kerana diyakini,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di laman sosial Facebook Dewan Muslimat Pas Negeri Johor hari ini.
Zakiah merupakan sebahagian pemimpin Pas yang turut menyertai Himpunan Turun Anwar yang dianjurkan pembangkang di ibu negara hari ini.
Sementara itu, Zakiah berkata, beliau turut bersuara dalam Himpunan Turun Anwar kerana berasakan negara semakin hilang arah, tatakelola kerajaan makin celaru, hak rakyat makin terabai dan masa depan generasi muda kian terancam.
Sedangkan ujarnya, apa yang diharapkan rakyat adalah kepimpinan yang benar-benar membela rakyat, adil, telus, dan meletakkan kebajikan rakyat di tempat tertinggi.
“Sebagai seorang wanita dan rakyat Malaysia, saya tidak akan berdiam diri. Jika PMX gagal memimpin dengan berintegriti dan cekap maka berundurlah dengan bermaruah,” katanya. – MalaysiaGazette
















