KULAI – Kerajaan meluluskan RM200,000 bagi menangani masalah banjir yang kerap melanda Kampung Melayu Bukit Batu di sini.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Ni Ching berkata, peruntukan itu menunjukkan melegakan penduduk kerana dalam tahun ini sudah empat kali banjir berlaku.
“Kita tahu, masalah banjir ini sudah terlalu kerap berlaku. Jadi kita ambil tindakan segera dengan meluluskan peruntukan bagi membina longkang konkrit jenis U yang bagi mempercepat lagi aliran air,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas ketika melawat kampung berkenaan hari ini.
Nie Ching berkata, kerja-kerja pemasangan longkang konkrit bersaiz 1.5 meter x 1.5 meter sepanjang 190 meter itu sudah bermula pada 21 Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 24 Julai ini.
Katanya, projek yang dibiayai melalui gabungan beberapa sumber peruntukan termasuk daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Ekonomi dan peruntukan khas Pejabat Ahli Parlimen itu dilihat bakal memberikan banyak manfaat kepada rakyat.
“Kita boleh lihat sendiri longkang baharu ini yang bukan saja besar dan dalam, tapi juga mampu menampung aliran air deras ketika hujan lebat,” katanya .
Jelasnya, bahagian yang sudah siap itu adalah fasa pertama sebelum diteruskan dengan fasa berikutnya hingga seluruh kawasan selesai.
“Kita harap usaha ini dapat mengurangkan tekanan dihadapi penduduk Kampung Melayu Bukit Batu akibat banjir berulang selain menjadi langkah jangka panjang ke arah sistem saliran yang lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Batu, Mohamad Norzaharuddin Kasimon berkata, walaupun peruntukan itu tidak dapat mengatasi sepenuhnya tetapi dapat mengurangkan lagi risiko banjir.
“Mungkin air itu naik dengan terlalu cepat dan boleh diturunkan dengan cepat. Penduduk sekitar Jalan Masjid Kampung Melayu Bukit Batu amat terkesan dengan masalah banjir ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















