Seorang warga emas maut digilis lori dalam kemalangan di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga emas maut digilis lori selepas gagal memotong di Felda Ulu Tebrau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9.30 pagi ketika mangsa berusia 80 tahun itu dalam perjalanan dari Felda Ulu Tebrau menghala ke pekan Ulu Tiram.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika motosikal mangsa bergerak seiring dengan lori berkenaan sebelum mangsa cuba memotong lori dari sebelah kiri.

“Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terjatuh di bawah lori dan digilis. Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemandu lori pula iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun tidak mengalami sebarang kecedreaan.

Mohd Sohaimi memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian dapat menghubungi 07-3864222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Mohd Sohaimi mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan sikap sabar selain mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta kod lalu lintas.

“Orang ramai juga hendaklah sentiasa berhemah, berjaga-jaga serta serius ketika berada di jalan raya,” kataya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast