Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa, Himpunan Turun Anwar semalam berjaya dan memberi impak positif kepada rakyat.

Menurut Puad, Annuar dan pihak yang menganjurkan himpunan tersebut patut mengakui bahawa acara itu gagal kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi menjadi Perdana Menteri Malaysia hari ini.

“Kalau diteliti ucapan Tun M, Hamzah dan Muhyiddin tidak seorang pun menyentuh pasal addendum.

“Kesudahannya pemimpin PAS sibuk upload video untuk buktikan jumlah kehadiran 500,000 orang.

“Di situ pula mereka berpolemik. Akui sahajalah perhimpunan itu gagal. Anwar tidak turun. Kalau betul ada durian runtuh baguslah. Rakyat untung, PAS yang basah kuyup,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hantaran itu adalah reaksi terhadap kenyataan Annuar yang mengatakan Himpunan Turun Anwar berjaya membawa pelbagai impak antaranya titah adendum berhubung perintah tahanan di rumah Datuk Seri Najib Razak akan dilaksanakan selain keadilan terhadap bekas Perdana Menteri itu makin hampir.

Annuar yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat mendakwa, lebih banyak ‘durian runtuh’ akan diberikan kepada rakyat serta penubuhan Muafakat Nasional 2.0 makin hampir.

Semalam, Himpunan Turun Anwar anjuran blok pembangkang yang dihadiri sekitar 18,000 peserta di Dataran Merdeka berlangsung dengan aman.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata perhimpunan yang bermula sejak awal pagi itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Sehingga pukul 5.30 petang, tiada laporan polis diterima berhubung sebarang kejadian berkaitan perhimpunan ini. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

18,000 hadir Himpunan Turun Anwar – Polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast