KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Indonesia pada 28 hingga 29 Julai 2025 bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 dengan Presiden Prabowo Subianto.
Anwar turut akan diiringi oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Kementerian Luar Negeri berkata, Rundingan Tahunan ini merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Indonesia yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan komprehensif.
Sejak pelaksanaannya pada tahun 2006 secara bergilir antara kedua-dua negara, rundingan tahunan ini mencerminkan komitmen politik yang kukuh untuk mempererat kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, kesalinghubungan, keterjaminan makanan serta pendidikan.
Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Rundingan Tahunan Ke-13 ini merupakan rundingan pertama antara Anwar dan Prabowo Subianto dalam kapasiti semasa masing-masing.
Kali terakhir Rundingan Tahunan diadakan ialah pada tahun 2017, menjadikan rundingan kali ini satu peluang penting untuk mempertingkat hubungan strategik serta meneroka bidang kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran serantau dan global semasa.
Satu Kenyataan Bersama akan dikeluarkan hasil daripada Rundingan Tahunan Ke-13 ini.
Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan upacara pertukaran empat memorandum persefahaman (MoU) dalam sektor sempadan darat, bidang kerjasama kesihatan serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Dalam rangka lawatan ini, Anwar turut dijadual mengadakan lawatan ke Sekretariat ASEAN di Jakarta, atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN.
Perdana Menteri akan menyampaikan Ucapan Dasar mengenai ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Malaysia terhadap integrasi serantau dan usaha pembinaan Komuniti ASEAN. – MalaysiaGazette
















