KUALA LUMPUR – Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan mendakwa lebih 3,000 masyarakat India hadir ke Himpunan Turun Anwar semalam.
Beliau dalam masa sama menyindir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George yang mendakwa tidak ramai orang terlibat dalam himpunan berkenaan.
“Kita bantu mobilisasi peserta kaum India bersama NGO-NGO lain. Kita tahu angka kaum India yang hadir.
”Apakah Gunaraj hadir dengan pakai topeng untuk kira berapa orang India yang datang? Saya sendiri mengerahkan ramai penyokong MIPP dari DUN Sentosa yang dia wakili,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Punithan berkata, penyertaan itu membuktikan masyarakat India semakin kecewa dengan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak lagi terpengaruh dengan janji-janji terdahulu.
“Mungkin dia (Gunaraj) masih bermimpi kaum India tetap sokong Anwar setelah semua yang mereka alami dan lalui dengan mempercayai janji manis Anwar selama ini. Orang India di seluruh negara pun sudah jemu dengan Pakatan Harapan dan Anwar Ibrahim.
“Saya nak tanya Gunaraj, cukuplah mengampu presiden parti kamu, peruntukan Mitra sudah diagihkan? Peruntukan sekolah Tamil sudah disalurkan? Masalah kaum India yang Anwar janji selesaikan dalam setahun sudah ke diselesaikan? Isu matrikulasi selesaikah?
“Sudah lupakan Rafizi sendiri berkata, sokongan kaum India menjunam ke hampir 30 peratus sahaja sekarang untuk PH? Saya minta Gunaraj kembali ke realiti. DUN Sentosa pun belum tentu boleh dimenanginya lagi dengan kaum India menolak PH dan Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Punithan menegaskan latar belakang kaum bukan isu utama sebaliknya semua peserta yang hadir berkongsi satu tujuan sama mendesak Anwar meletakkan jawatan.
Sebelum ini, Gunaraj yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR mendakwa kehadiran rendah kaum India pada himpunan itu membuktikan komuniti tersebut masih menaruh kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar dan hala tuju Kerajaan Madani.
Menurutnya, tindakan masyarakat India untuk tidak terlibat dalam demonstrasi jalanan menunjukkan mereka lebih memilih saluran konstruktif dan percaya kepada pelaksanaan reformasi serta dasar inklusif kerajaan.
Namun, menurut Punithan, realiti di lapangan berbeza kerana ramai daripada masyarakat India yang hadir ke perhimpunan itu datang membawa mesej jelas mereka sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan sekarang.
“Kaum India sudah letih dengan kerajaan sekarang dan mereka mahu beliau (Anwar) berundur. Sentimen ini bukan sahaja dirasai mereka yang hadir di sini, tetapi juga oleh ramai yang berada di rumah,” katanya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kurangnya kehadiran kaum India bukti mereka yakin terhadap PM – Gunaraj
















