JOHOR BAHRU – Penganjuran Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2025 mencatat kejayaan luar biasa apabila merekodkan nilai keseluruhan transaksi hartanah dan kewangan mencecah lebih RM1.13 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ini melibatkan jualan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), jualan lot bumiputera dan pasaran bebas serta pembiayaan bank.
Beliau berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding keseluruhan urus niaga lebih RM823 juta pada edisi sebelum ini.
“Dalam tempoh penganjuran JPEX 2025 selama tiga hari , transaksi RMMJ mencatat lonjakan luar biasa dengan jumlah keseluruhan mencecah RM173 juta.
“Pada hari pertama, ia melibatkan transaksi RM7.96 juta diikuti kira-kira RM14 juta sebelum melonjak pada hari ketiga dengan RM151 juta. Ini bukti rakyat mahukan rumah mampu milik yang berkualiti dan diyakini,” katanya.
Mohd Jafni merasmikan penutupan Majlis JPEX 2025 yang berlangsung di Angsana Mall Johor Bahru, di sini, semalam.
Mohd Jafni berkata, permohonan RMMJ turu mencatatkan jumlah luar biasa dengan sebanyak 5,103 permohonan baharu diterima dalam masa tiga hari sahaja.
Menurutnya, transaksi pasaran bebas (subsale dan hartanah terbuka) turut memecah rekod dengan jumlah keseluruhan berjumlah lebih RM454 juta.
Jelasnya, ini menunjukkan penganjuran JPEX bukan sekadar menjual rumah mampu milik, tetapi platform komprehensif buat semua segmen pembeli.
“Transaksi Bumiputera mencerminkan penyertaan inklusif dalam pemilikan aset amat positif dengan jumlah keseluruhan RM249.8 juta, ini adalah kejayaan besar dalam memperkasa ekonomi rakyat tempatan.
“Dan paling membanggakan, jumlah transaksi bank sepanjang JPEX 2025 telah mencecah RM258.6 juta, ini lambang keyakinan institusi kewangan terhadap ekosistem perumahan Johor yang stabil, strategik dan mesra pembeli,” ujarnya.
Menurutnya, sepanjang JPEX 2025 berlangsung, pihaknya menerima 332 permohonan Rumah Prihatin Johor (RPJ), program rumah percuma yang semakin diterima sebagai pelengkap agenda keadilan sosial negeri Johor.- MalaysiaGazette
















