JOHOR BAHRU – Kejayaan Malaysia menjadi orang tengah dalam rundingan Thailand dan Kemboja dapat mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah berlaku.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rundingan itu amat besar dalam memastikan ASEAN terus menjadi rantau yang stabil, selamat dan menarik kepada pelabur asing.
“Langkah ini bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, tetapi lebih penting, menzahirkan kebijaksanaan dan pengaruh besar yang dimiliki oleh Perdana Menteri dalam usaha mencari jalan damai melalui diplomasi dan dialog.
“Pertemuan ini adalah bukti nyata bahawa Malaysia turut memainkan peranan proaktif dalam memastikan kestabilan dan keselamatan rantau Asia Tenggara terus terpelihara.
“Saya yakin rakyat Malaysia bangga melihat bagaimana suara negara kita dihormati dan dijadikan rujukan dalam menangani konflik antarabangsa.
“Inilah Malaysia Madani yang progresif, berprinsip, dan dihormati dunia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuatkuasa serta merta mulai pukul 12 tengah malam waktu tempatan (24.00) hari ini.
Menurut kenyataan bersama Malaysia, Thailand dan Kemboja, ini merupakan langkah penting untuk mengurangkan ketegangan dan mengembalikan kemanan dan keselamatan kedua-dua belah pilhak.
Selain itu, katanya, mesyuarat tidak rasmi pemerintah tentera serantau antara Thailand dan Kemboja akan dilakukan pada pukul 7 pagi esok diikuti mesyuarat attache pertahanan yang diketuai Pengerusi ASEAN, sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.
Ini diikuti Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am diadakan pada 4 Ogos ini dengan Kemboja sebagai tuan rumah.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia sedia untuk menyelaras sebuah pasukan pemerhati untuk mengesah dan memastikan pelaksanaannya,” katanya.- MalaysiaGazette
















