JOHOR BAHRU – Seorang peniaga mendakwa diperdaya lebih RM100,000 oleh seorang pengawal peribadi kepada bekas Perdana Menteri dalam urusan jual beli lembu korban import dari Thailand untuk pasaran Malaysia pada Mei lalu.
Mangsa, Mazli Hamzah, 38, berkata, suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Datuk Mirza Nizam pada mulanya adalah rakan kongsinya untuk membekalkan lembu korban ke pasaran negara ini.
“Semuanya bermula pada Mei lalu selepas perkenalan dengannya pada tahun lalu semasa dia mahu membeli produk madu saya. Selepas berbincang saya setuju untuk melabur dan kami menjadi rakan kongsi.
“Kemudian dia membawa saya bertemu Pengarah Tabung Haji (TH) Johor untuk membincangkan perkara tersebut dalam pejabat Pengarah TH berkenaan Mei lalu.
“Kemudian saya bersetuju dan menyerahkan wang pelaburan secara tunai kepadanya di rumah saya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya, Mirza memberikan jaminan keuntungan akan diagihkan sebanyak tiga kali ganda menjelang Hari Raya Aidiladha.
Bagaimanapun, Mirza meminta wang tambahan lagi tetapi tidak memberinya dan selepas itu susah untuk menghubungi lelaki berkenaan yang sebenarnya dikenal pasti menggunakan nama samaran.
“Saya kemudian menghubungi dan menghantar mesej kepadanya beberapa kali tetapi tidak dijawab atau dibalas. Kemudian saya pergi ke kafe miliknya di Bandar Dato Onn di sini dan cuba menelefonnya dari jauh.
“Saya lihat dia tidak menjawab panggilan telefon dan apabila cuba mendekati dan ternampak saya, dia terus melarikan diri,” katanya yang sudah 12 tahun menjalankan perniagaan produk madu.
Dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Bandar Dato Onn pada 21 Julai lalu dan siasatan mendapati Mirza pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan menggunakan gelaran Datuk palsu dan mempamer lambang Diraja Pahang pada 2022.
Selepas Mirza mengetahui dia membuat laporan polis, lelaki berkenaan turut membuat laporan di balai polis yang sama pada 25 Julai dan mengugutnya untuk mengemukakan saman malu sebanyak RM10 juta.
Mazli berkata, dia tidak gentar dengan ugutan tersebut dan pada masa sama berharap Mirza memulangkan semula wang berkenaan dengan kes itu diselesaikan secara baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan , Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan ada menerima laporan berkenaan isu tersebut.
“Kita sedang dalam melengkapkan siasatan. Kertas siasatan akan dibuka bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya- MalaysiaGazette
















