KUALA LUMPUR – Sebanyak 465 kes pencerobohan direkodkan di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan di seluruh negara sejak tahun 2015 sehingga Mei tahun ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tanah milikan Persekutuan di seluruh negara meliputi keluasan 215,406 hektar dan tindakan penguatkuasaan sentiasa dilakukan bagi menangani isu pencerobohan tersebut.
“Bagi kes di Pulau Pinang sahaja terdapat 26 aduan melibatkan 18 lot tanah milik Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Dr. Siti Mastura Muhammad (Kepala Batas) di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Johari, bagi setiap pencerobohan, notis penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) akan dikeluarkan kepada pihak terbabit untuk mengosongkan tapak berkenaan.
“Selepas pengosongan, Kementerian/Jabatan Pengguna (KJP) yang menggunakan tanah tersebut akan bertanggungjawab mengawal kawasan bagi mengelakkan pencerobohan berulang,” jelasnya.
Mengulas mengenai rancangan pembangunan di tanah kerajaan yang diceroboh, kementerian menjelaskan, setiap tanah milik Persekutuan mempunyai perancangan di bawah Rancangan Malaysia.
Namun pelaksanaannya bergantung kepada keutamaan dan peruntukan yang diluluskan kerajaan.
“Bagi memastikan penggunaan tanah secara optimum, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan melaksanakan kaedah tukar guna kepada kementerian atau agensi lain yang memerlukan serta melalui kaedah sewaan dan pajakan tanah,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















