JOHOR BAHRU – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, di sini, mengharumkan nama Johor di pentas antarabangsa apabila berjaya merangkul Special Focus Prize For Presentation (Outstanding Category Presentation) dalam Global Link Singapore 2025.
SMK itu yang termasuk dalam kategori Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) meraih kejayaan tersebut dalam program yang berlangsung pada 26 hingga 27 Julai di Nanyang Technological University (NTU), Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, pelajar SMK berkenaan membawa inovasi bertajuk Odour Free Compost System.
“Pelajar ini berjaya membina sebuah sistem kompos tanpa bau hasil kolaborasi pintar bersama kilang fabrik tempatan, Emkey Precision and Engineering Services Sdn Bhd di Pasir Gudang dan analisis produk dijalankan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor.
“Inilah bukti bahawa kerjasama antara industri, institusi pendidikan dan sekolah mampu menghasilkan kejayaan luar biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, sebelum ke peringkat antarabangsa, projek itu diiktiraf di peringkat tempatan apabila menjadi Johan Pertandingan Inovasi Peringkat Daerah dan Tempat Ketiga Peringkat Negeri Johor.
“Kini mereka telah membuktikan kehebatan di peringkat dunia bersama 126 kumpulan lain dari tujuh negara, dinilai pula pakar-pakar akademik dari Singapura dan Jepun,” katanya.
Beliau berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada semua pelajar SRBJ serta sekolah lain di Johor untuk terus melakar kecemerlangan dalam bidang inovasi dan teknologi.
Inisiatif SRBJ bermula tahun ini membabitkan empat sekolah iaitu SMK Kota Puteri 2, SMK Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara. – MalaysiaGazette
















