KUALA LUMPUR – Akta Keselamatan Dalam Talian atau OnSA yang bakal dikuatkuasakan hujung tahun ini diharap dapat mengekang penyalahgunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) termasuk Deepfake bagi tujuan jenayah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengakui meskipun AI menjadi dasar negara namun penghasilan video atau gambar dengan memalsukan wajah seseorang dengan menyebarkan maklumat palsu merupakan satu cabaran.
“Memang kita dapati sama ada Kerajaan Persekutuan mahupun antarabangsa, sekarang sedang hebat dibincangkan isu-isu berkaitan kawal selia AI.
“Tapi masa sama, pengguna perlu ada satu kesedaran bahawa bukan semua yang kita saksikan dalam terutama media sosial itu benar.
“Setelah beberapa peraturan disiapkan oleh pihak MCMC, Insya-Allah ONSAR dapat diguna pakai dan berkuatkuasa hujung tahun ini,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi-PN) yang bertanya sejauh mana MCMC memanggil pihak bertanggungjawab yang melakukan Deekfake hingga menimbulkan fitnah kepada Perdana Menteri dan orang kenamaan di platform media sosial.
Fahmi berkata, MCMC sedang memperhalusi keperluan untuk platform media sosial meletakkan label AI Generated ataupun AI Enhanced dalam setiap kandungan berkaitan sebelum dimuat naik.
“Sama ada kandungan itu telah dihasilkan oleh AI ataupun ia telah ditambah baik ataupun diolah dengan AI.
“Platform-platform media sosial mempunyai satu tanggungjawab di mana mereka tidak boleh membiarkan kandungan-kandungan bersifat deepfake ini disebar dengan sedimikan rupa,” katanya.
Katanya lagi, tindakan berwaspa tidak mencukupi untuk membendung deepfake tanpa undang-undang tertentu untuk mengawal penyalahgunaan AI bagi tujuan penipuan dalam talian.
“Kita perlu ada satu keupayaan untuk melakukan mekanisme pengesahan yang mudah. Ia bukan sekadar melibatkan generative AI, gen AI seperti deepfake dan sebagainya.
“Malah ia dibincangkan dalam beberapa media barat, sekarang generative AI boleh menghasilkan video seolah-olah seorang wartawan itu berada di satu lokasi untuk membuat pelaporan pasal kejadian yang langsung tidak berlaku.
“Maka kita perlu sentiasa waspada. Tapi kewaspadaan kita tidak mencukupi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















