LAHAD DATU – Polis menahan lima lelaki termasuk tiga anggota polis disyaki terlibat penyalahgunaan dadah dan ketum di sebuah rumah di Taman Harapan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kesemua yang berusia 24 hingga 38 tahun ditahan menerusi Op Tapis pada 11.30 pagi.
“Hasil penahanan mereka, polis merampas 0.41 gram syabu, 224 liter cecair ketum, 8.20 liter ubat batuk, satu pedang samurai serta enam parang, kesemuanya dianggar bernilai RM11,655.40,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata. kesemua lelaki itu direman hingga 2 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – Bernama
















