KUALA LUMPUR – – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan Hari Terbuka sempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya.

Acara ini akan diadakan serentak pada 2 Ogos 2025 di Ibu Pejabat MPOB di Bangi serta di tujuh lokasi iaitu di Stesen Penyelidikan MPOB di Kluang, Keratong, Bagan Datuk, Hulu Paka, Lahad Datu, Sessang dan Pejabat Wilayah Sabah di Kota Kinabalu.

Penganjuran Hari Terbuka bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kemajuan industri sawit, termasuk pencapaian dalam bidang penyelidikan, inovasi, perkhidmatan yang ditawarkan serta kejayaan MPOB sepanjang 25 tahun penubuhannya.

Hari Terbuka MPOB menyasarkan penyertaan semua lapisan masyarakat dengan pelbagai aktiviti menarik yang disediakan, termasuk pameran inovasi MPOB, pemeriksaan kesihatan, pelbagai pertandingan, dan cabutan bertuah.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sempena Hari Terbuka MPOB, antaranya Sawit Run, MPOB Race, Treasure Hunt, Pertandingan Memasak, Pertandingan Mewarna dan Menghias Cupcake, serta Pertandingan Video Kreatif.

MPOB juga akan melancarkan buku resipi bertajuk “Sawit Dalam Sajian: Legasi Rasa Malaysia” yang menampilkan pelbagai hidangan berasaskan minyak sawit. Kesemua aktiviti ini melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat sekali gus mencerminkan keterangkuman dan jalinan sinergi dalam memartabatkan industri sawit negara.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, sambutan jubli perak MPOB bukan sekadar menandakan tempoh 25 tahun penubuhan organisasi tersebut, tetapi turut melambangkan kematangan, pencapaian gemilang serta kejayaan berterusan yang telah dicapai hasil dedikasi, komitmen dan usaha gigih seluruh warga MPOB.

MPOB berkata, tema Hari Terbuka MPOB “Sawit Untuk Semua” menggambarkan ekosistem industri sawit yang inklusif, mampan dan menyumbang kepada pertumbuhan
ekonomi negara.

Tema ini juga menekankan industri sawit adalah relevan untuk semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia, latar belakang atau status sosial, sekaligus membuktikan bahawa manfaat sawit dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat Malaysia.

Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan Hari Terbuka MPOB dan menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan. Ini adalah peluang terbaik untuk mengenali dengan lebih dekat sumbangan industri sawit kepada negara serta peranan MPOB sebagai pemacu inovasi dan pembangunan dalam sektor ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast