JOHOR BAHRU – Seorang pemilik kopitiam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah RM2,000 kepada penguat kuasa, tahun lalu.
Tertuduh, Tan Kai Dee, 23, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Kai Dee memberi rasuah wang RM2,000 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Ini sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas restoran kopitiam miliknya yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 47(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM500.
Kesalahan berkenaan dilakukan di Taman Mutiara Mas, Skudai, di sini pukul 6.20 petang, pada 4 November lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan, atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dan menetapkan tarikh 17 September ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette
















