Oleh: Zin Mahmud
PERANG Thailand dengan Kemboja adalah suatu yang malang. Bukan saja rakyat dan tentera kedua negara tidak pasal-pasal terbunuh tetapi ia mencalarkan imej Thailand, Kemboja dan ASEAN.
Perang Thailand-Kemboja bukan seperti Perang Israel-Gaza dan Perang Rusia-Ukraine. Ketiga-tiga perang itu mempunyai sifat dan keadaan yang berbeza. Perang Israel-Gaza itu adalah perang yang dilakukan oleh suatu kuasa “kejahatan” iaitu Israel untuk menahan, mendera dan menghapus penduduk Gaza.
Perang Rusia-Ukraine pula adalah pertembungan geopolitik antara kuasa besar Barat dengan Rusia. Tetapi Perang Thailand dengan Kemboja hanyalah antara dua negara jiran yang melibatkan pertikaian sempadan.
Sememangnya Perang Israel-Gaza dan Rusia-Ukraine juga melibatkan jiran dan sempadan. Israel seharusnya berjiran dengan Palestin. Itulah persetujuan antarabangsa. Tetapi Israel menakluk Gaza dan Tebing Barat, dua wilayah yang sepatutnya menjadi negara Palestin. Jadi, Perang Israel-Gaza bukanlah lagi perang sempadan. Ia adalah perang penghapusan etnik dan genosid.
Begitu juga dengan Perang Ukraine-Rusia. Ia membabitkan sempadan kedua negara. Rusia menakluk Crimea dan wilayah-wilayah timur Ukraine. Tetapi apa yang menjadi Rusia agresif ialah peluasan pengaruh Barat. iaitu Amerika Syarikat. Sememangnya Ukraine adalah sebuah negara Eropah dan mahu menyertai Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Tetapi Rusia menganggap Ukraine adalah negara yang sepatutnya di dalam pengaruhnya dan bukannya Amerika dan Barat. Ada konsep “Timur” di sini. Rusia, Ukraine, Belarus dan negara-negara bekas Soviet Union yang merupakan sebahagian daripada Empayar Rusia dahulu dianggap sebagai sebahagian sfera “Timur “ Sebab itu perang Rusia-Ukraine bersifat geopolitik global yang turut melibatkan Amerika.
Tetapi Perang Thailand-Kemboja hanya melibatkan kedudukan geografi sempadan mereka. Ia pun bukan bersifat serantau atau regional. Walaupun pertempuran boleh tempias ke Laos.
Ada pengulas yang cuba hendak menggambarkan bahawa Perang Thailand-Kemboja bersifat proksi global. Kemboja dianggap proksi China. Thailand pula disifatkan proksi Amerika. Kemudian seolah-olah perang ini dirancang oleh Amerika untuk mencabar China dan kemudian mengheretnya ke konflik di Laut China Selatan. Lebih-lebih lagi Amerika dikatakan meluluskan penggunaan jet pejuang yang dibeli oleh Thailand dari Amerika.
Sememangnya sejak selepas Perang Dunia Kedua, Thailand adalah sekutu Amerika, lebih-lebih lagi semasa Perang Amerika-Vietnam pada tahun 1970-an. Sementara Kemboja banyak masa dalam sejarah mempunyai hubungan baik dengan Chiba selepas Perang Dunia Kedua.
Pada tahun 1960, Putera Norodom Sihanouk menjadikan Kemboja negara berkecuali dan bersahabat dengan China. Hanya apabila Lon Nol merampas kuasa, Kemboja berbaik dengan Amerika hinggalah apabila Khmer Rouge berkuasa, Kemboja kembali pada China. Kini di bawah Hun Sen dan anaknya Hun Manet, Kemboja seperti juga Laos adalah dua negara Indochina yang rapat dengan China.
Namun, Thailand dengan China seperti lain-lain negara ASEAN yang lain turut berbaik dengan China. Thailand tidak akan memilih antara Amerika dengan China. Dua-dua adalah sama penting. China pula tidak akan terlibat dengan sebarang sengketa Thailand dengan Kemboja. Mengheret Amerika dan China dalam kancah persengketaan adalah suatu yang seronok untuk diulas tetapi ia tidak berpijak pada bumi nyata.
Satu lagi sudut yang gemar dianalisis oleh para pemerhati ialah peranan pihak dalam negeri masing-masing terhadap peperangan ini. Maka dinyatakan pihak tentera Thailand mahu menunjukkan kekuasaannya dan dominannya berbanding pihak politik awam, maka ditunjukkan keupayaan mereka menggunakan senjata.
Di pihak Kemboja pula dikatakan mereka sedang berusaha untuk memperkenalkan program kewajipan menyertai tentera bagi anak-anak muda sebagai khidmat nasional. Jadi perang ini diharapkan dapat meyakinkan rakyatnya terhadap perlunya khidmat tentera nasional untuk keselamatan dan kedaulatan negara.
Walaupun ada asas bagi sangkaan-sangkaan itu memandangkan apa jua kejadian terutamanya peperangan mempunyai banyak faktor untuk mendorong ia berlaku. Ada faktor besar, dan ada faktor sampingan. Jadi apakah faktor utamanya?
Satu lagi sudut yang gemar untuk dipandang ialah dari segi sejarah. Sememangnya dalam sejarah, bangsa Siam dan Khmer bermusuh. Tetapi permusuhan yang membawa kepada peperangan adalah suatu perkara lumrah pada zaman silam. Bangsa-bangsa berperang untuk meluaskan wilayah masih-masing. Bangsa Khmer bukan saja bermusuhan dengan Siam tetapi Champa dan Viet. Sementara Siam pula juga bermusuh dengan orang Lao dan Burma. Malah terhadap orang Melayu, Siam belayar jauh ke Melaka untuk menakluknya.
Tetapi itu zaman silam. Kehadiran kuasa-kuasa Barat iaitu Britain dan Perancis memaksa perjanjian yang akhirnya mampu membawa kepada keamanan dan penubuhan negara bangsa moden. Perjanjian Inggeris-Siam menetapkan sempadan Siam dengan Tanah Melayu dan juga Siam dengan Burma.
Perjanjian Siam dengan Perancis menetapkan sempadan Siam dengan Kemboja dan Laos. Sempadan-sempadan ini bukanlah sesuatu yang sempurna dan ia seringkali lebih menguntungkan kuasa-kuasa kolonial daripada penduduk tempatan.
Bagi sempadan Siam dengan Kemboja, Perancis mengambil sungai sebagai sempadan.Ia merupakan Suatu amalan biasa yang juga dilakukan oleh British ketika melakar sempadan antara negeri-negeri di Tanah Melayu. Dengan melakar sempadan melalui sungai itu, Siam mendapati sebahagian daripada tanahnya yang turut ada banyak peninggalan kuil Hindu berada dalam wilayah Kemboja. Siam tidak cukup kuat untuk mencabar Perancis.
Apabila Kemboja merdeka daripada menjadi tanah jajahan Perancis, tentu ia hendak mengekalkan wilayahnya. Persetujuan di peringkat antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula menetapkan bahawa sempadan yang diwariskan oleh pihak kolonial wajar dipertahankan untuk penubuhan sesebuah negara bangsa serta mengelak peperangan. Siam yang kemudian menjadi Thailand dan Kemboja menjadi anggota PBB yang boleh menjadi penjamin wilayah mereka.
Selepas Perang Dunia Kedua, Asia Tenggara dilanda perang kemerdekaan antara pejuang nasional dengan pihak kolonial yang mahu terus berkuasa. Perang kemerdekaan Vietnam yang asalnya adalah antara nasionalis Vietnam dengan kolonialis Perancis telah merebak menjadi perang antara Amerika dengan Soviet Union dan China di seluruh Indochina termasuk Kemboja dan Laos.
ASEAN ditubuhkan oleh Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina, antara lain adalah untuk menghalang merebaknya perang Indochina. Malah ASEAN mengisytiharkan gagasan Zon Perdamaian. Kebebasan dan Berkecuali (Zopfan) bagi Asia Tenggara. Selepas Amerika berundur dari Vietnam, ASEAN berusaha supaya Kemboja menikmati keamanan Khmer Rouge yang kejam hilang kuasa apabila dittakluk oleh Vietnam.
Setelah keamanan diwujudkan di Indochina. negara-negaranya iaitu Vietnam, Kemboja dan Laos menyertai ASEAN. Akhirnya Asia Tenggara dapat benar-benar muncul sebagai wilayah yang aman.
Rantau yang aman dan mesra pelaburan dapat menarik modal antarabangsa. ASEAN mempunyai imej dan reputasi yang progresif. Di kalangan negara-negara ASEAN, hanya Myanmar yang masih bergelimang dengan masalah perang sama sendiri dan isu Rohingya. Sungguhpun begitu, banyak perkara yang perlu dibaiki di Indonesia, Filipina dan Kemboja.
Sidang kemuncak ASEAN akan diadakan di Kuala Lumpur November ini. Jawatan Pengerusi ASEAN akan diserahkan pada Filipina pada tahun depan. Pada Disember tahun ini, Thailand akan menjadi tuan rumah Sukan SEA.
Perang Thailand dan Kemboja tentunya mencemarkan imej dan reputasi AsEAN. Apabila sudah berbunuhan, sudah tentu ia mengambil masa untuk memulihkan. Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN wajar turut berudaha mendamaikannya.
Jika perang tidak dapat dihentikan, bagaimanakah Perdana Menteri Thailand dan Kemboja hendak bertemu semasa Sidang Kemuncak ASEAN? Begitu juga bagaimanakah para atlet Kemboja hendak menyertai Sukan SEA kelak? Berita terkini kedua-dua pihak bersedia untuk gencatan senjata.
Saya sudah mendengar hujah-hujah kedua-dua belah pihak yang ditularkan oleh mempengaruh masing-masing. Thailand menuduh Kemboja yang memulakan pergaduhan ini. Kemboja pula menuduh Thailand. Tidak ada kebaikan dari peperangan ini. Ia hanya menyusahkan penduduk-penduduk tempatan.
Penulis adalah penganalisis isu-isu geopolitik
















