PASIR GUDANG – Ibu kepada budak lelaki ditemui mati ditanam kelmarin cuba membunuh diri namun berjaya diselamatkan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, wanita berkenaan mengalami kemurungan akibat kehilangan anak tunggalnya itu.
“Polis mengesahkan ibu mendiang Tishant yang dikatakan cuba membunuh diri dibenarkan keluar dari hospital pagi tadi. Dia kini dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Sebelum ini, Sohaimi mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada wanita itu pada 22 Julai lalu mendakwa suaminya iaitu suspek memukulnya dan membawa keluar anaknya dari rumah.
Menurutnya, siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 KK dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumahtangga.
Cerita mengenai Ibu Tishant cuba membunuh diri itu tular dalam media sosial ketika ini.
Malam kelmarin, media melaporkan mayat Tishant yang berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri pada Khamis lalu dan ditemui ditanam di kawasan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Kanak-kanak itu yang ditemui ditanam disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dengan tekanan pada leher. Hasil bedah siasat terhadap mayat itu mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian, namun berdasarkan soal siasat awal, suspek berusia 36 tahun itu dipercayai berdepan masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.
Suspek kini ditahan reman oleh polis Kontinjen Johor selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Lelaki itu sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.- MalaysiaGazette
















