FADHLINA Sidek ketika menyambut kepulangan pelajar kumpulan orkestra Sekolah Seri Puteri, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah malam tadi. – Foto: IHSAN KPM

 

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina melahirkan rasa bangga dengan kejayaan kumpulan orkestra Sekolah Seri Puteri, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) yang mencipta sejarah menjadi wakil tunggal negara dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11 di Vienna, Austria.

Lebih membanggakan, ini bukan kali pertama SPWinds melakar kemenangan di pentas dunia, sekali gus memperlihatkan prestasi cemerlang sekolah berkenaan dalam acara berkenaan.

Katanya, kemenangan itu juga hasil sokongan berterusan daripada keluarga dan sekolah, malah Kementerian Pendidikan (KPM) sendiri memberi dukungan kuat kepada kumpulan serta sekolah berkenaan.

“Jadi, sudah semestinya kemenangan ini adalah kemenangan anak-anak Malaysia di pentas dunia yang mesti kita raikan,” katanya.

FADHLINA Sidek ketika menyambut kepulangan pelajar kumpulan orkestra Sekolah Seri Puteri, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah malam tadi. – Foto: IHSAN KPM

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyambut kepulangan pelajar kumpulan orkestra SPWinds di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah malam tadi.

Selain mencipta sejarah menjadi wakil tunggal negara dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas, konduktor orkestra itu, Raja Muzafar Shah turut dinobatkan sebagai konduktor terbaik dalam acara yang berlangsung pada Rabu hingga Sabtu lalu.

SPWinds yang terdiri daripada seramai 66 pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun itu menyertai kategori Remaja bagi Orkestra Alat Muzik Tiupan dan Brass dalam acara tersebut.

Mereka mempersembahkan dua karya iaitu Amana oleh Hiroaki Kataoka serta komposisi tempatan Rai dan Tari oleh Yeo Chow Shern.

FADHLINA Sidek ketika menyambut kepulangan pelajar kumpulan orkestra Sekolah Seri Puteri, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah malam tadi. – Foto: IHSAN KPM

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM akan mempertimbangkan pengiktirafan dan penghargaan sewajarnya kepada SPWinds yang disifatkan mencapai satu kejayaan luar biasa khususnya di peringkat dunia.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan pelajar di sekolah lain yang turut berpotensi melakar kejayaan di peringkat dunia tetapi berdepan kekangan kewangan, Fadhlina berkata, KPM mempunyai pelbagai bentuk sokongan untuk membantu pelajar dan sekolah berkenaan.

Jelas beliau, sokongan itu bukan sahaja dari segi kewangan, malah dari aspek lain seperti jurulatih yang profesional dalam bidang berkaitan serta dari sudut teknikal lain.

“Ini kerana KPM sentiasa melihat bahawa potensi pelajar-pelajar kita mesti dikembangkan di semua peringkat, dan saya percaya potensi anak-anak kita ini boleh dibentuk sekiranya mereka diberi ruang dan peluang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast