Syed Rosli

KUALA LUMPUR – Masyarakat mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan tidak bertamadun oleh Chegubard yang menyebat patung menyerupai Perdana Menteri secara terbuka di Himpunan Turun Anwar baru-baru ini.

Aktivis politik, Syed Rosli Jamululai berkata, tindakan itu bukan sahaja keterlaluan malah melanggar prinsip Rukun Negara khususnya Kesopanan dan Kesusilaan serta Keluhuran Perlembagaan.

“Politik biarlah berprinsip bukan dikuasai oleh dendam dan kebencian melampau hingga tergamak mempersembah budaya politik samseng dan kebinatangan kepada rakyat Malaysia.

“Kita boleh berbeza pandangan tetapi jangan sampai menjatuhkan maruah negara di mata dunia melalui tindakan yang menghina dan tidak beradab seperti ini,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan dalam kenyataan hari ini.

Syed Rosli menuntut siasatan segera oleh pihak berkuasa terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu.

“Negara ini perlu dipelihara dengan akhlak, adab dan perdebatan yang waras bukan dengan simbol keganasan. Hormatilah demokrasi, dan junjunglah nilai Rukun Negara,” tegasnya.

Kes yang sama menyebabkan Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan polis di kediamannya Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Himpunan Turun Anwar yang diadakan pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun selepas sehari, Chegubard semalam dibebaskan selepas permohonan reman empat hari oleh polis ditolak mahkamah.

Dalam pada itu, Syed Rosli juga menasihati Chegubard supaya jangan play victim (berlakon jadi mangsa) selepas dibebaskan daripada tahanan polis kerana aksinya sebelum itu jelas bertentangan dengan tatasusila. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast