KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Natpro Biotech Sdn. Bhd. (Natpro) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan bioteknologi, pembangunan produk semula jadi serta inovasi berasaskan komuniti.
MoU itu ditandatangani dalam satu majlis yang berlangsung di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Kampus Samarahan 2, Kuching, Sarawak, baru-baru ini, merupakan sebahagian daripada usaha memperluas kerjasama akademia-industri yang menjurus ke arah pembangunan lestari negara.
Menurut Rektor UiTM Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah, pemeteraian itu mencerminkan komitmen bersama dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi dan memperkasa peranan universiti dalam pembangunan sosioekonomi wilayah Sarawak.
Tambah beliau, kerjasama itu dijangka membuka ruang kepada penyelidikan gunaan dan inovasi baharu yang menyokong agenda bioekonomi dan kelestarian negara.
“Kami berbangga kerana kerjasama ini turut melibatkan alumni kami sendiri yang kini kembali bukan hanya memberi inspirasi, tetapi turut menyumbang melalui kerjasama sebenar yang menjana inovasi dan manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama tersebut meliputi pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan produk bersama, peningkatan kebolehpasaran graduan melalui peluang latihan industri, penubuhan Pusat Kecemerlangan di UiTM Sarawak, pelaksanaan program libat urus komuniti serta pemindahan ilmu dan inovasi berteraskan industri.
Natpro Biotech, syarikat yang beroperasi di Sarawak, mempunyai kepakaran dalam menukar biojisim dan sumber semula jadi kepada produk bernilai tinggi menerusi pendekatan “waste to wealth” iaitu strategi mengubah sisa industri dan organik menjadi produk komersial seperti makanan haiwan dan tenaga boleh diperbaharui.
Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU itu ialah Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Sarawak, Prof. Ir. Dr. Juferi Idris dan Pengarah Urusan Natpro Biotech, Syed Ahmad Tarmizi Wan Yusop.
Majlis itu turut disusuli dengan sesi lawatan hormat dan perbincangan strategik antara kedua-dua pihak yang menandakan permulaan kerjasama dinamik merentasi bidang akademik, industri dan komuniti. – MalaysiaGazette
















