KUALA LUMPUR – Adakah wajar untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sedangkan beliau adalah yang diharapkan untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Persoalan demikian dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyifatkan RMK-13 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini merupakan dasar ekonomi yang lengkap untuk negara dan rakyat keseluruhannya.
“Pada 26 Julai 2025 yang lalu satu perhimpunan besar rakyat telah menunjuk perasaan di Kuala Lumpur untuk menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim turun.
“Lima hari kemudian di Parlimen, Anwar Ibrahim bangun di Dewan Rakyat membentangkan satu dasar ekonomi yang lengkap untuk negara Malaysia dan rakyatnya, iaitu dasar ekonomi lima tahun akan datang.
“Setelah mendengar Anwar Ibrahim membentangkan RMK-13 itu di Parlimen, adakah wajar lagi untuk rakyat menuntut Anwar Ibrahim turun sedangkan dialah orang yang diharapkan untuk menerajui dan melaksanakan cita-cita yang terkandung dalam RMK-13 tersebut?,” soal beliau.
Hassan menyifatkan kekuatan kerajaan pimpinan Anwar hari ini adalah perhatian untuk memperbaiki ekonomi Malaysia yang ditunjukkan dalam rancangan bagi empoh lima tahun menerusi RMK-13.
“Dengan membentangkan secara rasmi dan terbuka di Parlimen RMK-13 bermakna PM Anwar Ibrahim mahu memberitahu rakyat Malaysia dan dunia termasuklah World Bank,IMF dan institusi global bahawa Malaysia ada rancangan yang jelas untuk menuju tahun 2030.
“Misalnya Malaysia ada sasaran ekonomi Makro.Ada dasar meningkatkan darjat hidup rakyat dengan menangani kos sara hidup,” katanya lagi.
Tambah beliau, RMK-13 bagi tempoh sehingga 2030 itu boleh dianggap seperti manifesto pilihan raya buat parti politik yang memerintah namun dalam bentuk dasar ekonomi yang diusulkan di Dewan Rakyat/
“Jadi dokumen lengkap Rancangan Malaysia Ketiga Belas ini yang disampaikan intisari dan intipatinya secara lisan di Parlimen oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bolehlah dianggap semacam manifesto pilihan raya parti-parti politik yang bergabung di dalam Kerajaan Madani yang mentadbir Kerajaan Persekutuan di Putrajaya,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















